Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion sehingga Mac ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata angka tersebut merupakan hasil kejayaan misi perdagangan dan pelaburan negara yang dilakukan di Australia, Jerman dan Perancis baru-baru ini.
Dalam laporan sebelum ini, negara ini berjaya mencatatkan potensi pelaburan baru sebanyak RM45.4 bilion hasil lawatan rasmi ke Berlin minggu lalu.
"Sambutan yang diberikan oleh negara-negara tersebut amat luar biasa dan ia adalah permulaan baharu bagi negara.
"Ini…(hasil) persiapan awal yang telah dilakukan oleh rakan-rakan kita di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Luar serta agensi kerajaan lain termasuklah Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.
"Umpamanya cip komputer, kita sudah lihat ia mampu diiktiraf sebagai tarikan pelaburan pertama di Asia dan ini bukan perkara yang mudah," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kejayaan itu merupakan hasil usaha kerajaan dalam menstabilkan politik dan mendapat kerjasama daripada penjawat awam serta matlamat dan dasar negara yang jelas.
"Kejelasan dalam dasar ekonomi kita (penting), yang akan membantu dan memberikan harapan baharu kepada kita," katanya.
Beliau berkata Jerman mempunyai ekonomi yang kukuh dan merupakan ekonomi kedua terbesar di Eropah.
"Sambutan yang diberikan kepada kita sebagai sebuah negara kecil amat membanggakan," katanya.
Bagaimanapun, beliau menekankan masih terdapat ruang untuk diperbaiki termasuklah dari segi kelulusan projek tidak dilewatkan.
"Kita juga bersyukur kerana majoriti penjawat awam masih mempunyai integriti dan mempunyai semangat untuk memperbaiki (mutu kerja).
"Kita perlu mengekalkan usaha sedemikian dan jika kita dapat meningkatkannya, saya fikir dalam tempoh dua atau tiga tahun, wajah Malaysia akan berubah," kata beliau.
Menyentuh laporan tahunan Bank Negara Malaysia yang dikeluarkan semalam, Anwar berkata angka pertumbuhan dan unjuran untuk tahun depan adalah positif dan meyakinkan.
"Asas ekonomi Malaysia terus kukuh dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2024 adalah lebih baik berbanding 2023.
"Kita dapat mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2023 sebanyak 3.7% walaupun berdepan pelbagai asakkan dan kemeruapan ekonomi global.
"Bagi tahun ini, ekonomi kita dijangka bertambah kukuh dengan unjuran pertumbuhan antara empat dan lima peratus," kata beliau.
Anwar berkata antara faktor yang menyokong prestasi ekonomi lebih baik pada tahun ini termasuklah kadar pengangguran yang turun kepada paras 3.3% pada Januari 2024, iaitu kembali kepada paras prapandemik (2022: 3.7%).
Beliau berkata kadar inflasi rendah apabila turun kepada 1.6% pada suku keempat 2023 berbanding dua peratus pada suku ketiga tahun lepas.
Prestasi eksport turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada Januari tahun ini dengan peningkatan 8.7% selepas menguncup 10 bulan sebelumnya (Mac hingga Disember 2023).
Selain angka-angka positif makroekonomi, prospek pelaburan negara juga berada pada tahap yang amat baik.
"Pada 2023, kita meraih pelaburan diluluskan berjumlah RM329.5 bilion iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah negara," kata beliau.
Comments