Lawatan mengejut Dr Dzulkefly di Hospital Klang berjaya selesai beberapa isu
- Suara Keadilan

- Nov 19, 2025
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Lawatan mengejut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pagi semalam membawa kepada beberapa keputusan segera termasuk kelulusan dua mesin oftalmologi baharu dan arahan menaik taraf fasiliti yang dikenal pasti bermasalah.
Dr Dzulkefly berkata, lawatan ke hospital yang merupakan antara paling sibuk di Malaysia itu amat penting untuk menilai secara dekat perkembangan semasa, cabaran harian, serta keadaan pesakit dan petugas kesihatan.
"Saya telah bersetuju memberikan kelulusan segera untuk pembekalan dua mesin oftalmologi baharu bagi meningkatkan keupayaan diagnostik dan mempercepat pengesanan awal penyakit mata, iaitu mesin ‘Fundoscopy system’ yang bernilai RM250,000 dan OCT spectrometer yang bernilai RM600,000.
"Seterusnya, saya turut meninjau Jabatan Kecemasan, termasuk Zon Merah yang terjejas akibat insiden kebakaran pada Julai lalu.
"Alhamdulillah, kerja-kerja pemulihan telah siap sepenuhnya dan zon tersebut kembali beroperasi seperti biasa," katanya dalam satu muat naik di platform media sosial beliau.
Dalam kenyataan sama, Dr Dzulkefly turut memaklumkan beliau berkesempatan meninjau sistem pneumatic tube HTAR iaitu sistem penghantaran bertekanan udara yang digunakan sejak 1997 untuk memindahkan sampel darah, ubat-ubatan dan dokumen penting antara jabatan.
Ujarnya, sistem berkenaan menjimatkan masa yang kritikal dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
"Di Kompleks Ibu dan Anak serta Wad Pediatrik, saya mendapati beberapa bahagian masih mengalami pengudaraan yang kurang baik serta liputan penghawa dingin yang tidak menyeluruh.
"Saya telah mengarahkan pihak hospital untuk mempercepat kerja naik taraf, termasuk memastikan semua kawasan pesakit dilengkapi penghawa dingin demi keselesaan ibu, kanak-kanak dan petugas.
"Pada masa yang sama, hanya satu lif berfungsi di kompleks tersebut. Saya juga telah mengarahkan jurutera bertugas untuk mempercepat pembaikan dan penaiktarafan," katanya lagi.
Beliau yang juga Naib Presiden AMANAH menambah, KKM akan terus memperkukuh perkhidmatan, fasiliti dan infrastruktur agar setiap rakyat menerima rawatan yang selamat, bermaruah dan berperikemanusiaan.
"HTAR kekal sebagai nadi kesihatan masyarakat Klang. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Hospital, Dr Sarina Sidek dan rakan baik saya Dr Ahmad Tajuddin yang merupakan Pakar Perunding Kecemasan atas komitmen dan kepimpinan mereka," ujarnya lagi.









Comments