Lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Ahmad Fahmi Fadzil ke Johor pada Ahad berjaya meningkatkan kerjasama antara kementerian dan Kerajaan Negeri dalam bidang pernyiaran serta multimedia.
Menurut Menteri KKD, lawatan beliau dimulakan dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada sebelah pagi. Dalam pertemuan hampir dua jam itu beliau menyembah maklum perkara-perkara terkait dengan KKD serta operasi agensi di bawah kementerian di Johor.
Kemudian Fahmi dan delegasi KKD mengunjungi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kunjungan itu, katanya bagi memudahkan perbincangan antara negeri dan persekutuan dalam sebarang kerjasama akan datang.
"Susulan perbincangan, esok akan diadakan petugas khas penyelarasan proses kemajuan utiliti gentian optik. Ketua Setiausaha KKD, Datuk Sri Haji Mohammad Mentek akan mengetuai delegasi KKD dalam petugas khas dengan pihak Exco negeri Johor.
"InshaAllah dengan kerjasama erat pihak kementerian dan Kerajaan Negeri, masalah rakyat akan diselesaikan lebih cepat dan cekap," katanya.
Pada sebelah petang, lawatan kerja mengunjungi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA)
Menurut Fahmi, lawatan itu menyentuh sektor ekonomi digital dan industri kreatif yang merupakan antara elemen terpenting dalam pembangunan Iskandar Malaysia
"Ekonomi digital yang turut menjadi tumpuan utama Kerajaan Perpaduan akan memberi manfaat buat wilayah Iskandar Malaysia," katanya.
Manakala pada sebelah malam delegasi KKD diraikan pada majlis makan malam anjuran kerajaan Negeri Johor dihoskan oleh Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh serta Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar.
Fahmi mengucapkan terima kasih di atas sambutan mesra untuk beliau dan delegasi KKD sepanjang lawatan kerja sehari yang bermanfaat itu.
Commenti