Lawatan ke tiga negara langkah awal kembali ke era gemilang Malaysia
- Suara Keadilan

- Jul 12
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Lawatan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara kuasa ekonomi dunia iaitu Perancis, Itali dan Brazil, baru-baru ini boleh dianggap sebagai langkah awal untuk membawa Malaysia kembali ke zaman keemasan 'Harimau Asia', sekali gus mengimbau kegemilangan yang pernah dikecapi pada dekad 1990-an.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar) berpandangan jemputan lawatan ke tiga negara berkenaan mencerminkan peningkatan imej dan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia.
Namun ujarnya, masih awal untuk mengatakan bahawa pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa telah kembali setanding sebagaimana era Harimau Asia suatu ketika dahulu.
''Ia boleh dianggap sebagai langkah awal ke arah itu, tetapi tertakluk kepada kejayaan Anwar memulihkan ekonomi domestik, membina perpaduan nasional yang mapan dan menunjukkan kestabilan jangka panjang.
''Anwar perlu lebih banyak membuat pendirian tegas dalam isu-isu global seperti keadilan ekonomi global, pembelaan negara dunia ketiga dan penentangan terhadap hegemoni Barat.
''Situasi semasa (2020-an), kini Malaysia masih bergelut dengan cabaran struktur ekonomi, ketidaksamarataan, kestabilan politik yang belum benar-benar kukuh, serta pergantungan kepada pelaburan luar yang masih tinggi.
''Walaupun imej Anwar di mata dunia dilihat positif berbanding beberapa pemimpin sebelum ini, ia belum sepenuhnya mencerminkan kekuatan sistemik negara seperti pada era 1990-an,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai lawatan Anwar yang juga Presiden KEADILAN ke tiga negara itu sama ada ia menandakan kebangkitan semula pengaruh Malaysia di peringkat antarabangsa seperti era 'Harimau Asia' pada 1990-an.
Namun katanya, lawatan Anwar ke tiga negara berkenaan merupakan langkah diplomatik strategik yang memperlihatkan usaha beliau memperkukuh semula jaringan antarabangsa Malaysia serta menempatkan semula negara ini dalam radar kuasa-kuasa besar dunia.
Jemputan rasmi daripada negara-negara tersebut, ujar beliau, menggambarkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap Malaysia sebagai rakan strategik berpotensi tinggi dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik serta diplomasi di arena antarabangsa.









Comments