Lawatan ke Rusia: PMX tonjol imej gemilang Malaysia di mata dunia
- Noraini Nordin

- 2 days ago
- 2 min read

Sorotan Berita: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengadakan lawatan rasmi ke Rusia.
Kali ini beliau mengadakan lawatan ke Kazan, Rusia bermula 17 hingga 18 Jun 2026.
Ini merupakan lawatan kali ketiga Perdana Menteri ke Rusia sejak beliau memegang tampuk pimpinan negara pada November 2022.
Lawatan kerja pertamanya ialah ke Vladivostok (September 2024), kali kedua ke Moscow (Mei 2025) dan kali ketiga ke Kazan (Jun 2026).
Lawatan kali ini bertujuan menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Hubungan ASEAN-Rusia dan mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Vladimir Putin.
Dalam sidang kemuncak memperingati hubungan yang telah terjalin selama 35 tahun itu, Perdana Menteri turut menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan ASEAN-Rusia.
Dalam pertemuan dengan Putin, fokus perbincangan adalah untuk membincangkan dan memastikan jaminan bekalan minyak, gas, dan diesel kepada Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global yang semakin serius.
Selain itu, dalam pertemuan bersama Presiden Vladimir Putin dan pemimpin Republik Tatarstan, matlamatnya adalah untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor ekonomi, perdagangan, pertanian, sains dan teknologi, serta pendidikan.
Perluas kerjasama ekonomi
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan Anwar dan Putin turut menyentuh usaha memperluas kerjasama ekonomi termasuk menghargai ketetapan Rusia memberikan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.
"Mereka juga bertukar pandangan mengenai peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal," jelas kenyataan itu lagi.
Hakikatnya lawatan Perdana Menteri, sama ada ke Rusia atau ke mana-mana negara, ia bukanlah lawatan 'makan angin ' atau suka-suka ingin melancong melihat dunia.
Ia adalah lawatan untuk kepentingan masa depan negara dan dalam usia menjangkau 80 tahun, Anwar terbukti masih gigih memerah keringatnya demi negara.
Yang lebih membangggakan, ke mana sahaja beliau pergi, selain diberi sambutan meriah, penduduk dan media di negara yang dilawatinya juga amat menyanjung, menghormati dan memberi liputan yang luas.
Membina semula negara
Ia sekaligus memperkenalkan lagi Malaysia ke mata dunia dan mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong, suatu realiti yang makin memakmurkan negara.
Itulah Perdana Menteri kita, dalam usianya yang mana kebanyakan orang lain hanya memikirkan rehat dan ingin bermain dengan cucu, beliau sebaliknya seperti masih tidak cukup masa bekerja, bekerja dan terus bekerja.
Tanpa menghirau kritikan yang cuba memperlekehkan kerja kerasnya membina semula negara PMX terus mara demi negara.
PMX menggunakan sisa umurnya untuk terus membangunkan negara dan terus gigih mensejahterakan negara hingga ke mercu dunia.




Comments