top of page

Lawatan ke Rusia: PM perluas diplomasi ekonomi, dasar luar berkecuali

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read


Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan peringkat tertinggi bersama Presiden Rusia Vladamir Putin di Kremlin, Moscow dalam lawatan empat harinya bermula hari ini dalam usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.


Menurut penganalisis, lawatan ke Rusia dapat memperkukuh dasar luar berkecuali Malaysia dengan Perdana Menteri Anwar dilihat meneroka usaha diplomasi ekonomi lebih luas melibatkan kumpulan Selatan Global termasuk negara Amerika Latin, Afrika, Asia dan Oceania.


Lawatan tersebut merupakan kali kedua bagi Perdana Menteri ke negara itu dalam tempoh lapan bulan yang dilakukan atas jemputan Putin.


Ketibaan Perdana Menteri dijadual disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai; pegawai kanan dan wakil Russia termasuk Timbalan Menteri Russia, Ryabkov Sergey Alexeevich serta Duta Besar Russia ke Malaysia, Nail Latypov.


Beliau turut diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Senator Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


"Mesyuarat ini bertujuan menilai kemajuan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan agri-komoditi, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga," demikian kata Wisma Putra dalam kenyataan.


Kenyataan itu berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.


Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia turut berhasrat meneroka peluang untuk memperkasakan kerjasama menerusi kerangka Hubungan Dialog ASEAN-Rusia, ujar Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar.


Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan sesi meja bulat bersama pemimpin industri; menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) serta mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Moscow.


Esok, Anwar dijadual mengikuti sesi meja bulat bersama tokoh industri utama Russia di Hotel Metropol yang bersejarah di Moscow, diikuti beberapa pertemuan secara bersemuka.


Selain itu, Perdana Menteri juga dijadual bertemu Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin bagi memperkuatkan lagi hubungan Malaysia dengan institusi dan komuniti Islam di negara berkenaan.


Pada Khamis, Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan umum di Institut Negeri Moscow untuk Hubungan Antarabangsa, akademi diplomatik utama Rusia yang menganugerahkan beliau dengan ijazah kehormat.


Lawatan Perdana Menteri kemudian dilanjutkan ke Kazar, ibu negara Tatarstan di mana beliau dijadual bertemu 'rais' atau ketua republik itu dan melawat Ekspo Halal Rusia serta Taman Teknologi Tinggi Kazan.


Anwar juga akan menghadiri Kumpulan Wawasan Strategik: Dialog Dunia Rusia-Islam dan menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Antarabangsa XVI, Dunia Russia-Islam: KazanForum 2025.


Forum itu menjadi antara platform terbesar bagi dialog antara Rusia dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).


Menurut Wisma Putra, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion) pada 2024.


Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan diproses manakala import dari Rusia melibatkan produk petroleum, mineral, serta bahan kimia dan produk berasaskan kimia.


Sebelum ini, Anwar melawat Rusia pada September tahun lalu bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur di Vladivostok di mana beliau bertemu Putin malah duduk sepentas dalam satu forum dengan menyuarakan sokongan terhadap kerjasama global multipolar.


Hubungan Malaysia dan Rusia diperkukuhkan lagi apabila ia diterima menjadi negara rakan dalam BRICS iaitu blok ekonomi baharu yang dibentuk oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page