Lawatan ke luar negara bawa misi besar, bukan sekadar 'jalan-jalan'
- Suara Keadilan

- Jul 7
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Tuduhan segelintir pihak dari parti pembangkang bahawa siri lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara sekadar program ‘jalan-jalan’ mencerminkan golongan tersebut mempunyai minda yang sempit.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi berkata pemikiran sedemikian juga merupakan manifestasi kepada "kebebalan" dalam memahami impak geopolitik dan geoekonomi yang sedang melanda dunia terhadap Malaysia dan rakyat negara ini.
Sedangkan jelas beliau, setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar negara termasuk menarik pelaburan dan mengangkat suara negara membangun di forum antarabangsa.

"Bermula dengan asas untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, sehinggalah memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti BRICS.
"Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Farhan menjelaskan inisiatif diplomasi ekonomi yang dipimpin Perdana Menteri Anwar telah membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu yang strategik antara lain dalam memperluas akses pasaran menerusi penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) serta pemeteraian FTA dengan negara-negara EFTA.
Kata beliau langkah proaktif Malaysia telah membuahkan hasil dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang telah diluluskan iaitu sebanyak 14.9 peratus dengan nilai berjumlah RM378 bilion serta prestasi perdagangan yang mencatat pertumbuhan dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion, peningkatan 9.2 peratus pada 2024.
"Pendekatan proaktif ini amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan nisbah dagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 130 peratus.
Sebaliknya beliau berkata semasa era pentadbiran pembangkang sebelum ini, citra negara tidak terkehadapan dan hakikat itu perlu diakui kerana ia terserlah dalam lipatan sejarah krisis politik negara.
"Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti 'seekor belalang di tepi lautan' itu sudah lama berlalu sejak kerajaan MADANI memandu negara," ujarnya.
Farhan berkata pentadbiran di bawah kerajaan Madani berjaya membuatkan dunia kembali memandang Malaysia sebagai rakan yang berprinsip, stabil dan berpotensi.
"Pelaburan berbilion ringgit, pemeteraian perjanjian strategik dan penyertaan aktif Perdana Menteri di platform ekonomi dan diplomatik bertaraf dunia membuktikan keberkesanan dasar luar kita," katanya.









Comments