Lawatan Bawa Hasil: Malaysia Antara Pemilik Telaga Gas Terbesar Dunia
- Noraini Nordin

- 6 hours ago
- 2 min read

Sorotan Berita: Dalam lawatan Perdana Menteri ke Rusia dan Turkmenistan yang baru berakhir, fokus paling penting adalah berkaitan minyak dan gas untuk keperluan negara pada waktu kini dan akan datang.
Di Rusia, melalui perbincangan dengan Presiden Vladimir Putin, Malaysia berjaya memperolehi jaminan mengenai kerjasama jangka panjang bagi memastikan bekalan minyak, gas dan diesel negara terus terjamin dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, usaha diplomatik yang dijalankan kerajaan bukan bertujuan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan pembangunan negara terus diperkukuh dan kebajikan rakyat terpelihara.
Katanya, Petronas telah dan akan bekerjasama dengan syarikat tenaga Rusia termasuk Rosneft serta mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat lain bagi meneroka peluang kerjasama dalam sektor tenaga.
Dalam hal berkaitan, beliau merakamkan penghargaan kepada Putin atas sokongan Rusia dalam memperkukuh kerjasama tenaga dengan Malaysia, khususnya melibatkan Petronas.
Menurut beliau, hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia terus berkembang merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, kewangan dan ekonomi halal.
Kerjasama dua hala
Di Turkmenistan, negara yang dilawati selepas Rusia, perkara berkaitan minyak dan tenaga turut menjadi fokus utama.
Lawatan itu membuka lembaran baharu dalam usaha memperluas kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, terutama sektor tenaga yang mempunyai potensi besar untuk diteroka dan dimanfaatkan demi kemakmuran kedua-dua negara.
Turkmenistan merupakan salah satu kuasa tenaga terbesar di Asia Tengah, dengan rizab minyak mentah yang banyak (kira-kira 600 juta tong) dan antara yang terbesar di dunia untuk gas asli.
Kapasiti sumber keseluruhan Turkmenistan dianggarkan mencecah 71.64 bilion tong minyak yang dihasilkan daripada kawasan kawasan daratan dan Laut Kaspia.
Petronas sebenarnya telah bertapak di negara itu sejak 1996 dan telah melabur berbilion ringgit, manakala pada Jun 2026 lalu, Petronas telah memeterai perjanjian strategik baharu untuk memperkukuh operasi lapangan gas dan minyak yang diiktiraf sebagai antara yang terbesar di dunia.
Perkongsian kepakaran
Dengan sebab itu, lawatan Anwar ke Turmenistan adalah penting untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta memastikan negara memiliki sumber tenaga yang terjamin.
Anwar sendiri menegaskan hubungan Malaysia dan Turkmenistan telah berkembang jauh melangkaui sektor minyak dan gas.
"Berteraskan kepercayaan dan persahabatan yang telah terbina sekian lama, kedua-dua negara kini komited memperluas kerjasama dalam bidang strategik termasuk pendidikan, TVET, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan pembangunan modal insan," tambah beliau.
Tahun ini juga, menurut Perdana Menteri, merupakan ulang tahun ke-30 kehadiran Petronas di Turkmenistan dan ini membuktikan kerjasama yang diasaskan atas rasa hormat, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi mampu melahirkan manfaat yang berkekalan kepada kedua-dua negara.
"Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara, sekali gus menjadi contoh bagaimana Negara-Negara Selatan (Global South) dapat membina kerjasama yang saling menguntungkan demi kemajuan dan kemakmuran rakyat," tambahnya lagi.
Yang penting, dalam lawatan Anwar ke Rusia dan Turkmenistan, kedua-duanya berjaya membawa manfaat besar kepada rakyat Malaysia.




Comments