'Lawan bekas ADUN bukan halangan, tetapi pembakar semangat' - Nazri
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim (gambar), menganggap persaingan menentang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek, sebagai cabaran yang menyuntik semangat untuk beliau bekerja lebih keras dan tersusun sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Negeri Sembilan.
Nazri berkata, beliau tidak memandang ringan kemampuan lawannya, namun yakin jentera PH di DUN Ampangan berada dalam keadaan lebih tersusun dan bersedia bagi menghadapi saingan pada pilihanraya kali ini.
"Kita tahu bahawa pertandingan ini melibatkan bekas ADUN Ampangan iaitu Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek.
"Bagaimanapun saya mengambilnya sebagai satu cabaran untuk bekerja dengan lebih kuat dan lebih tersusun.
"Setakat ini saya mempunyai keyakinan bahawa jentera yang dibentuk di Ampangan bagi Pakatan Harapan agak lebih tersusun dan teratur," katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, fokus utama kempen adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau mempunyai kesungguhan, kemampuan dan komitmen untuk menjadi wakil rakyat yang mampu membawa suara serta memperjuangkan kepentingan penduduk Ampangan.
"Kita akan bekerja untuk meyakinkan penduduk di Ampangan mengenai kesungguhan, kemampuan dan kebolehan kita untuk mewakili mereka di Ampangan," katanya.
Nazri yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Negeri Sembilan turut memohon sokongan dan restu pengundi agar diberikan mandat pada hari pengundian.
"Saya memohon restu dan dokongan daripada semua untuk mengundi saya pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti," katanya.
Kerusi DUN Ampangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Nazri, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Mohamad Rafie Abd Malek dan calon Bersatu, Azzah Harun.
Pada PRN kali ini, penyandang kerusi DUN Ampangan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman daripada PH, tidak mempertahankan kerusi berkenaan.
