Law Bing Haw tekad teruskan usaha reformasi Ginie Lim di DUN Machap Jaya
- Omar Zin
- Nov 7, 2021
- 2 min read

Law Bing Haw tekad untuk meneruskan usaha reformasi Ginie Lim di DUN Machap Jaya apabila beliau terpilih sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ginie dalam catatannya hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Machap Jaya, meskipun beliau tidak terpilih sebagai calon KEADILAN untuk kali keempat, menutup peluangnya untuk menjadi ADUN untuk penggal kali kedua.
"Sejak pencalonan pertama saya pada 2008 sehingga sekarang, penduduk Machap Jaya telah tidak putus-putus membimbing, mengasuh dan memberi peluang kepada saya sejak tahun 2018 untuk menggalas tanggungjawab mulia sebagai wakil rakyat.
"Kata-kata sahaja tidak dapat menzahirkan sepenuhnya rasa terima kasih saya yang tidak terhingga kepada para pengundi saya sekalian. Cinta saya pada Melaka tidak akan pudar.
"Walaupun saya terkilan tidak dipilih dan tidak dapat bertanding kali ini, namun saya akan tetap berpegang kepada prinsip saya, yakni mereformasi sistem politik, dan meneruskan kempen untuk PH dalam PRN Melaka akan datang, Api Reformasi ini tidak akan pernah padam.
"Saya memohon maaf kepada pengundi saya dan juga ahli-ahli cabang Alor Gajah saya jika keputusan parti telah mengecewakan anda semua. Impian kami untuk reformasi dan keadilan akan sentiasa kekal dalam hati kami. Marilah kita teruskan mengejar impian ini bersama-sama pada masa hadapan," katanya.
Law Bing Haw dalam catatan balas menzahirkan penghargaan kepada Ginie yang telah berkhidmat dengan baik di Machap Jaya.
"Usaha berterusan yang telah dijalankan oleh Datuk Ginie dalam memenangi hati dan jiwa penduduk DUN Machap Jaya selama menjadi wakil rakyat, akan tetap saya teruskan.
"Ini adalah kerana harapan serta aspirasi penduduk Machap Jaya yang selama ini telah bersama-sama di dalam perjuangan ini, akan tetap saya teruskan.
"Sebagai calon yang telah dipilih oleh parti, saya sentiasa bersifat terbuka untuk menerima sebarang tunjuk ajar dan bimbingan dalam usaha membangunkan penduduk Machap Jaya ke arah satu matlamat yang sama.
"Kepada Datuk, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah berlapang dada menerima pencalonan saya demi kesinambungan parti yang kita cintai.
"Impian serta aspirasi Datuk untuk reform politik serta memperjuangkan keadilan kepada semua, akan terus diperkasakan. Marilah kita bangkit bersama demi sebuah reformasi ini dan selamat maju jaya kepada semua," katanya.
Comments