Oleh: Abdullah Zaid
Suasana di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, di sini dipenuhi lautan merah para penyokong meskipun cuaca mula redup seawal 7.00 pagi tadi.
Penyokong Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dilihat sudah mula berhimpun di Pejabat UMNO Bahagian Nibong Tebal yang terletak berdekatan dengan pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan.
Bagi mengelakkan provokasi antara penyokong, laluan di Jalan Serindit yang menempatkan pusat penamaan calon ditutup kira-kira 100 meter.
Dalam pada itu, beberapa pimpinan utama Kerajaan Perpaduan menyertai perarakan bagi mengiringi calon, antaranya Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO yang juga Setiausaha Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi.
Calon dan jentera Perpaduan tiba di kawasan tempat penamaan calon pada 8.45 pagi tadi.
Kira-kira 800 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di DUN berkenaan sebagai persediaan PRK sehingga tamat proses pengundian 6 Julai nanti.
PRK Sungai Bakap dijangka akan menyaksikan persaingan sengit apabila bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, sebagai calon kerajaan.
Mahir dalam bidang latihan kepimpinan dan pengurusan, Dr Joohari dijangka menentang bakal calon PN yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail bagi kerusi DUN Sungai Bakap.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangmya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Comments