
Larry Sng membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi KEADILAN Sarawak.
Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada pemimpin Dayak untuk menerajui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.
"Setelah melakukan pelbagai pertimbangan, saya memutuskan agar KEADILAN Sarawak dipimpin oleh pemimpin Dayak bagi menghadapi PRN Sarawak.
"Majoriti penduduk Sarawak adalah orang Dayak yang mewakili 43% penduduk dengan Melayu dan Cina hanya 24% sahaja. Namun kita dapati bahawa kawasan termiskin dan paling tidak maju di negeri ini berada di kawasan pendalaman Dayak.
"Orang Dayak juga kurang diberi peluang untuk memainkan peranan dalam kepimpinan tertinggi dalam parti pemerintah dan pembangkang. Presiden, ketua parti dari PBB, PDP, SUPP, PKR, DAP, PSB, PBK, Amanah banyak diterajui oleh orang Melayu atau Cina, walaupun parti mereka banyak disokong oleh orang Dayak," katanya.
Di samping itu, Ahli Parlimen Julau menganggap keputusannya adalah bagi membantu menaikkan taraf hidup orang Dayak di Sarawak.
"Saya percaya bahawa dengan perubahan dalam kepemimpinan KEADILAN Sarawak, ia akan meraih kepercayaan kepada parti dalam memerangi ketidaksetaraan ekonomi di sektor swasta, ketidaksamaan pemilihan dan kedudukan dalam perkhidmatan awam dan tekad kita dalam menangani isu tanah adat hak Bumiputera.
"Walaupun saya terpilih di kerusi Parlimen yang didominasi oleh warga Dayak dan mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri, saya yakin parti akan jumpa pengganti yang baik," katanya.
Pada masa sama, Larry enggan mempersoalkan kewibawaan pemimpin Dayak, walaupun majoriti ahli parlimen Dayak yang mewakili Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bertindak melompat parti.
"Kita tidak seharusnya mengambil kira Ahli Parlimen dari Puncak Borneo, Saratok, Lubok Antu dan Selangau sebagai contoh kepimpinan Dayak di KEADILAN Sarawak. Lebih menyedihkan, jika mereka kekal bersama KEADILAN Sarawak, PH pasti masih lagi kerajaan pada hari ini.
"Dosa segelintir orang tidak boleh terpikul di bahu banyak pihak, dan saya yakin bahawa rakyat akan memilih KEADILAN Sarawak kembali untuk mewakili mereka di kawasan-kawasan yang telah kita kecundang.
"Saya akan membincangkan perkara ini dengan Presiden parti saya dalam beberapa hari akan datang untuk membincangkan peralihan ini dan pemilihan pengganti saya," katanya.
Comments