Larangan media sosial bawah 16 tahun: Perbincangan masuk fasa serius
- Suara Keadilan

- Jan 18
- 1 min read

Perbincangan mengenai cadangan mengehadkan penggunaan media sosial kepada pengguna berumur 16 tahun ke atas kini memasuki fasa lebih serius.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbincangan kini memberi tumpuan kepada aspek teknikal serta mekanisme pelaksanaan dasar tersebut.
Menurutnya, semua platform media sosial utama telah memulakan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung cadangan berkenaan.
"Kita menjangkakan pelaksanaannya mungkin dalam tempoh beberapa bulan akan datang, tetapi tarikh tepat akan ditentukan sebelum sebarang pengumuman dibuat," katanya dipetik.
Pada Disember tahun lalu, Fahmi menekankan keperluan pelaksanaan had umur 16 tahun untuk penggunaan media sosial bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada risiko dieksploitasi atau didedahkan kepada perkara yang tidak patut dalam talian.
Kerajaan juga jelasnya berhasrat melaksanakan pengesahan umur pengguna platform media sosial menerusi penggunaan tiga dokumen rasmi iaitu MyKad, pasport dan MyDigital ID.
Sementara itu Fahmi turut memaklumkan, beberapa platform lain yang pada awalnya tidak termasuk dalam kumpulan sasar telah menyatakan kesediaan untuk terlibat secara sukarela dalam inisiatif berkenaan.
"Saya berpandangan belum masanya untuk menamakan platform-platform tersebut, namun langkah ini mencerminkan sikap proaktif pihak platform yang mahu memahami usaha kerajaan bagi mewujudkan persekitaran Internet yang lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak," tegas Jurucakap Kerajaan itu.




Comments