top of page

Laporan siasatan Putra Heights: Selangor tubuh jawatankuasa susulan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 30
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan Selangor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan sokongan PETRONAS serta agensi berkaitan, bagi mencadangkan langkah-langkah susulan yang perlu diambil ekoran tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.


Hal itu diumum Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang media petang tadi selepas pembentangan laporan siasatan tragedi Putra Heights tidak menemui sebarang perbuatan jenayah atau kecuaian yang menyebabkan letupan paip gas pada 1 April lalu.


Menurut MB, langkah-langkah susulan yang akan diambil meliputi aspek perundangan serta pelbagai perkara lain yang berkaitan.


''Undang-undang yang saya maksudkan adalah peraturan-peraturan yang boleh dicadangkan kepada pihak Kerajaan Negeri supaya kita boleh merangka satu langkah pencegahan terhadap peristiwa ini atau langkah susulan untuk memastikan peristiwa tidak berulang pada masa depan.


''Ini adalah langkah susulan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri yang kita namakan sebagai jawatankuasa khas yang akan menilai laporan-laporan yang diberikan.


''Seterusnya mencadangkan kepada Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi terbabit untuk melakukan langkah susulan supaya aktiviti ini tidak lagi berlaku pada masa depan,'' katanya dalam sidang media di bangunan SUK Selangor.


Sebelum itu, Laporan Siasatan Insiden Kebakaran Putra Heights mengesahkan tragedi tersebut berlaku bukan disebabkan perbuatan jenayah atau kecuaian.


Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata, tiada bukti menunjukkan perbuatan khianat dan unsur kecuaian menjadi punca letupan.


Menurut beliau siasatan menyeluruh bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Majlis Bandaraya Subang Jaya, dan Petronas telah mengambil kira semua kemungkinan.


"Tumpuan turut diberi terhadap kerja pembinaan lot kedai, penggantian paip pembetung, serta kemungkinan letupan bom atau pembakaran bahan lain.


"Bagaimanapun, semua itu dikenal pasti tidak menjadi penyebab kejadian," katanya dipetik FMT.


Manakala pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi 1 April.


Siasatan pasukan teknikal juga mendapati sejak talian paip gas itu ditauliahkan pada tahun 2000, telah berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3cm dalam tempoh 25 tahun.


Kesan mendapan tanah menyebabkan berlakunya pergerakan kepada paip gas sebanyak 15.9cm, dan hal itu dibuktikan dalam persampelan paip yang menunjukkan tanda-tanda tekanan dan ‘fatigue’ dalam struktur paip.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page