Laporan RCI Tabung Haji: SEKPUR lapor polis, desak tindakan tegas
- Redzuan Shamsudin
- 14 minutes ago
- 3 min read

Semua pihak yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan Tabung Haji (TH) sebagaimana didedahkan melalui laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baru baru ini perlu dipertanggungjawabkan tanpa mengira latar belakang atau parti politik, kata Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa.
Beliau berkata, prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik perlu diterapkan dalam pengurusan institusi berkenaan selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
"Dengan semangat MADANI, semua mesti dilihat telus, bersih dan siapa sahaja yang terlibat seperti mana diulangkan oleh Perdana Menteri iaitu mesti dipertanggungjawabkan.

"Ia merentas parti politik, apakah UMNO, KEADILAN atau DAP atau AMANAH yang terlibat mesti diambil tindakan tegas," katanya dalam sidang media di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur selepas wakil sekretariat itu membuat laporan polis berhubung penemuan RCI TH yang mendedahkan beberapa salah laku.
Mustapa turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menjalankan siasatan di TH susulan pendedahan laporan RCI.
"Tahniah juga SPRM yang telah menghantar anggotanya masuk ke TH, sudah pasti membongkar dokumen yang ada dan membuat hasil terbaik kerana telah ada laporan RCI," katanya.
Dalam pada itu, Mustapa memuji keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan Kerajaan MADANI kerana membuka ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
"Kita mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak terlibat, terutama PMX yang berani kerana prinsip, mana-mana organisasi yang berada di bawah kendalian Kerajaan MADANI mesti terbuka. Tidak ada lagi tertutup.
"Begitu juga keberanian PMX memberi ruang seluasnya kepada PDRM dan mana-mana pihak terlibat dalam kes ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung SEKPUR Mejar (B) Razali Zakaria berkata pendedahan RCI yang mengandungi dapatan berkaitan salah laku dan kelemahan tadbir urus perlu diberi perhatian serius kerana ia menyentuh kepentingan pendeposit TH.
"Laporan RCI yang telah dibuat jadi tatapan umum yang melibatkan salah laku, yang boleh menggugat keresahan awam.
"Perkara ini mendatangkan kebimbangan pencarum yang terdiri daripada orang Melayu Islam yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat kepada Tabung Haji dan kerajaan," katanya.
Oleh itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab sekiranya terdapat unsur salah guna kuasa atau tindakan yang menyebabkan kerugian kepada TH.
"Kami menuntut satu siasatan diambil oleh pihak berkuasa kepada sesiapa yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan salah guna kuasa dan merugikan Tabung Haji," katanya.
Menurut Razali, laporan polis dibuat oleh SEKPUR bagi memastikan perkara berkenaan tidak dipandang ringan, terutama apabila melibatkan dana yang dikumpulkan umat Islam bagi tujuan menunaikan ibadah haji.
Beliau berkata rakyat juga perlu mengambil serius dapatan laporan berkenaan kerana TH merupakan institusi yang mempunyai kepentingan besar kepada masyarakat Islam.

Dalam perkembangan sama, Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun menyambut baik keputusan Kerajaan MADANI mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum.
"Dengan adanya political will oleh PMX dan pihak kabinet telah bersetuju untuk mengeluarkan RCI ini, jadi saya berterima kasih kepada Kerajaan MADANI.
"Inilah siasatan yang akan diconfirmkan pada sesi khas Dewan Rakyat, akan dibentangkan kertas ini dan ini adalah merupakan satu keberanian untuk memberi tahu rakyat apa yang sebenarnya berlaku," katanya.
Bagaimanapun, Shahbudin berkata prestasi TH ketika ini perlu turut dinilai secara objektif, termasuk berdasarkan penjelasan pengurusan tertingginya.
"Saya mendengar sendiri kenyataan pengerusi TH, tiada yang salah dengan TH, mereka melakukan dengan terbaik, simpanan baik, ekonomi baik," katanya.
