Oleh: Abdullah Zaid
Lembaga Siasatan mengenalpasti dua faktor sebagai punca nahas helikopter yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada kejadian 23 April lalu.
Menerusi satu kenyataan, laporan akhir itu memaklumkan faktor utama mendapati pesawat Fennec, salah satu helikopter malang pada hari kejadian, tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta telah memasuki laluan pesawat HOM AW139.
Menurutnya, faktor kedua pula adalah berkaitan channelized attention oleh kru pesawat HOM AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan dan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.
"Kesemua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly). Tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
"Laporan autopsi juga mengesahkan bahawa tiada isu hypoglycemia atau fatigue terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang. Tiada unsur mental illness direkodkan atau dikenal pasti. Kesemua kru udara terlibat disahkan secara perubatan sebagai fit to fly," kata Lembaga Siasatan.
Dalam nahas tersebut, seramai 10 anggota terkorban melibatkan dua helikopter TLDM yang bertembung ketika sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Dalam pada itu, TLDM juga mengalu-alukan sumbangan ke Tabung Tragedi Lumut 24 untuk diagihkan kepada waris mangsa yang terlibat.
"Semoga usaha-usaha ini dapat membantu meringankan bebanan yang sedang dihadapi oleh waris dan ahli keluarga mangsa," kata kenyataan itu lagi.
Comments