Laporan polis ke atas 'Gerakan Anti Rumah Anutan Haram'
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Satu laporan polis telah dibuat terhadap seorang individu dikenali sebagai Zamri Vinoth Kalimuthu dan sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka 'Gerakan Anti Rumah Anutan Haram', berhubung dakwaan bakal menganjurkan himpunan dan mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi yang didakwa berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama di negara ini.
Aktivis KEADILAN, Thiban Subbramaniam berkata, laporan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap penyebaran kenyataan dan tindakan yang didakwa menyentuh sensitiviti 3R (raja, agama dan kaum) yang didakwa boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk serta ketenteraman awam sekiranya tidak ditangani secara tegas menurut undang-undang.
"Perkara ini dipercayai mempunyai unsur kesalahan di bawah beberapa peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Kanun Keseksaan Seksyen 298, 295A, 504 serta 505, Akta Hasutan 1948 Seksyen 3(1), dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233 sekiranya melibatkan penyebaran melalui platform digital.
"Sehubungan itu, pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan, perpaduan rakyat serta keharmonian antara agama terus terpelihara selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
"Saya juga memohon agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), dapat segera campur tangan bagi memastikan isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama ini ditangani secara adil, tegas dan berhemah demi memelihara kestabilan negara serta perpaduan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Thiban mendakwa, perkembangan tersebut mempunyai unsur perancangan politik yang lapuk dengan tujuan menggugat dan menjatuhkan kredibiliti PMX di samping usaha didakwa mahu melemahkan kerajaan yang memerintah.
"Saya juga menyuarakan kebimbangan kemungkinan terdapat kaitan dengan pihak-pihak berkepentingan politik tertentu.
"Kenyataan ini dikeluarkan sebagai tanda tanggungjawab seorang warganegara yang prihatin terhadap kestabilan negara, serta menyeru semua pihak agar menolak sebarang bentuk provokasi perkauman atau keagamaan yang boleh menjejaskan perpaduan nasional," katanya lagi.
Thiban membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur petang tadi dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap unsur berkaitan 3R bagi mengelakkan sebarang ketidakharmonian antara kaum berlaku di negara ini.









Comments