top of page

Laporan HRW: Satu bukti tidak diberi, tetapi syarah satu dunia - Saifuddin



Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan laporan terbaharu Human Rights Watch (HRW) yang mendakwa kerajaan mendera kumpulan pelarian dan warga asing dengan menempatkan mereka di pusat tahanan imigresen yang sesak serta kononnya melebihi kapasiti.


Menteri Dalam Negeri Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini terdapat 20 depoh imigresen di negara ini dengan kapasiti 20,650 namun sehingga 7 Mac jumlah mereka yang ditempatkan di depoh tahanan ialah seramai 13,635 iaitu di bawah kapasiti maksimum.


"Laporan HRW tertolak dengan sendirinya. Biar angka berbicara, adakah sesak, jawapannya tidak," jelas beliau ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.


Saifuddin menjelaskan, kerajaan membelanjakan sebanyak RM123 juta pada tahun lepas dengan kos makanan sebanyak lima kali sehari mencecah RM83 juta.


"Bila kita usir kita bayar duit feri dan kapal terbang, begitu sekali kita jaga, tapi HRW kata kita dera sampai kematian," katanya.


Beliau berkata warga Myanmar paling ramai direkodkan berada di depoh imigresen iaitu seramai 4,541 diikuti Indonesia (3,797), Filipina (2,914), Bangladesh (1,000), Thailand (329) dan negara-negara lain 1,054.


Jelas beliau, tahanan tersebut membabitkan mereka yang telah menjalani proses hukuman di penjara sementara menunggu proses dokumentasi dari kedutaan negara asal untuk dihantar pulang.


"Lagi cepat dokumen perjalanan dikeluarkan lagi cepat dikeluarkan, lagi cepat kita hantar pulang," katanya.


Selain itu, jelasnya terdapat juga tahanan yang disyaki terlibat di bawah kesalahan Akta Imigresen dan dalam proses diserahkan kepada pendakwa raya selain pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang melakukan kesalahan jenayah.


Saifuddin berkata, ekoran laporan pemerhati hak asasi yang berpusat di New York itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipanggil oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan HRW turut diberi keterangan serta diminta mengemukakan pembuktian kes penderaan dan kematian yang disebut dalam laporan itu.


"Satu cebis bukti pun tidak diberi tetapi (laporan) disyarah satu dunia," katanya.


"Ini sangat tidak bertanggungjawab, perlu tampil kepada saya bukti. Saya akan segera ambil tindakan dan beri penjelasan versi yang lebih berkredibiliti yang dapat diuar-uarkan bagi menjernihkan tuduhan ini," katanya.


Kepada soalan tambahan Guan Eng mengenai isu pelarian, Saifuddin berkata kementerian sentiasa berhubung dengan UNHCR bagi melakukan silang semak jumlah pelarian yang berada di negara ini untuk menangani isu tersebut.


Katanya, pemegang kad UNHCR tidak akan ditahan sekiranya ditemui dalam sebarang operasi Imigresen melainkan mereka melakukan kesalahan jenayah.


"Melainkan jika melakukan kesalahan jenayah seperti kes bunuh dan rogol," ujarnya sambil memaklumkan pemegang kad pelarian turut bebas melakukan kegiatan untuk meneruskan kehidupan seperti berniaga ketika menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh).

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page