Laporan awal pasukan khas FELDA didedahkan minggu ini - PM


Laporan awal siasatan mengenai salah laku dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dijangka didedahkan minggu ini, menurut Perdana Menteri.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang salah laku dalam FELDA tidak wajar dilepaskan.
"Saya tidak akan menentukan siapa yang akan disiasat, didakwa dan dihukum. Itu adalah prinsip yang harus kita gunakan," katanya dipetik pada Majlis Hi-tea Sekretariat Reunion Reformis di Shah Alam pada Ahad.
Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu menurut Anwar, siasatan terhadap badan berkanun itu dilakukan susulan kerajaan terpaksa berbelanja sehingga RM980 juta setahun bagi menampung kerugiannya.
Pendedahan penting bagi menjelaskan masalah yang berlaku di FELDA, termasuk persoalan berkaitan kerugian dan pengurusan agensi berkenaan.
"Setiap tahun kita (kerajaan) bayar RM980 juta untuk menampung kerugian. Baru-baru ini rumah-rumah teruk, robek, berpuluh tahun tak dikendali, tak dikawal.
"Saya boleh kata, itu silap dulu, pengurusan dahulu. Kamu sokong, tanggunglah rumah kamu. Tetapi saya tak sampai begitu kerana bukan salah dia (peneroka), maka saya terpaksa luluskan RM450 juta untuk baiki semua rumah-rumah di seluruh negara," tambahnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mencadangkan pertuduhan terhadap dua bekas pegawai kanan Felda berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kertas siasatan akan dikemukakan syor pertuduhan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan keizinan mendakwa.




Comments