top of page

Lapan Resolusi YADIM kukuhkan Mahkamah Syariah Malaysia



Oleh: Noraini Nordin


Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen dalam enakmen syariah Kelantan, susulan petisyen dikemukan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, Yayasan Dakwah Islamiah atau Yadim telah menganjurkan Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia .


Forum tersebut diadakan pada Sabtu, 17 Februari 2024 di Dewan Abdullah Bukhari Nasyrul Quran, Putrajaya.


Tujuan forum untuk memberi lebih kefahaman kepada masyarakat berkaitan isu undang undang syariah dan Perlembagaan Persekutuan yang nampaknya telah dijadikan modal politik oleh pihak-pihak tertentu.


Hakikat yang harus diterima sebagai rakyat Malaysia adalah setiap individu harus sentiasa menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan, iaitu sumber perundangan yang tertinggi, selain memperakui keterjaminan kedudukan undang-undang syariah seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan itu sendiri yang memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang syariah.


Berikut adalah resolusi yang dicapai melalui forum tersebut:-


RESOLUSI PERTAMA


1. Menyedari pertembungan dan pertindanan:

Kuasa dalam menggubal undang-undang mengikut batasan sama ada Parlimen atau Badan Perundangan Negeri.


Bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah.


2. Mencari jalan penyelesaian bagi mencari titik keharmonian antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah agar saling melengkapi dan tiada pertindihan. Justeru, kajian kewajaran penggabungan institusi kehakiman iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah adalah dicadang untuk dilaksanakan dikenali dengan nama Mahkamah Malaysia.


RESOLUSI KEDUA


Meluaskan dan memartabatkan undang-undang syariah serta bidang kuasa mahkamah syariah menerusi pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] bagi mengelakkan perbezaan tafsiran dan peruntukan sedia ada dicabar.


RESOLUSI KETIGA


Merangka pelan tindakan strategik, tuntas dan efektif dalam meningkatkan kesedaran tentang peri penting budaya cakna Perlembagaan dan undang-undang khasnya undang-undang syariah agar masyarakat terbentuk berdasarkan disiplin ilmu yang benar, bukan berlandaskan sentimen emosi.


Antaranya:


Memanfaatkan media massa dengan pengisian informasi berkala menerusi bahan bacaan dan penghasilan video pendek berkaitan undang-undang syariah dan Perlembagaan dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami.


Diangkat sebagai topik dalam salah satu teras mata pelajaran di institusi pendidikan.

Mengadakan jerayawara (road tour) berkala di seluruh negara.


Perkongsian kefahaman terhadap isu-isu Islam termasuk perundangan Islam menerusi program mobiliti dan integrasi komuniti masyarakat Islam Malaysia yang digerakkan oleh jaringan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan dakwah di Malaysia.


RESOLUSI KEEMPAT


Mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama pimpinan parti politik dan pimpinan masyarakat di Malaysia bagi tujuan penyatuan hati dalam usaha memartabatkan undang-undang syariah agar kekal utuh di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber perundangan tertinggi di negara serta menjamin kedaulatan undang-undang Islam.


Usaha ini adalah bagi mencari titik penyelesaian secara musyawarah tanpa prejudis dan meraikan perbezaan pandangan tanpa menjejaskan ukhuwah dan silaturahim.


RESOLUSI KELIMA


Penempatan penasihat syariah di mahkamah sivil melibatkan persoalan atau pertikaian undang-undang syariah ini bagi memastikan prosiding di mahkamah berjalan dengan adil dan saksama atas khidmat nasihat pakar dalam bidangnya.


RESOLUSI KEENAM


Memberi pencerahan dan kefahaman kepada ahli parlimen termasuk yang bukan Islam berhubung undang-undang syariah agar mereka menyokong sebarang usaha pindaan berkaitan undang-undang syariah dan mahkamah syariah.


RESOLUSI KETUJUH


Mewujudkan imuniti bagi setiap enakmen syariah yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri dan Parlimen serta mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja sebelum diwartakan.


RESOLUSI KELAPAN


Mengangkat hasil resolusi ini untuk diteliti oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk perhatian dan tindakan seterusnya bagi:


Memastikan tiada kelompangan undang-undang atas kesalahan membabitkan orang Islam di bawah undang-undang Persekutuan.


Memperkukuhkan undang-undang syariah dan mahkamah syariah.


Resolusi forum dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.


Diharap melalui forum ini, banyak kekeruhan dan kekeliruan telah dijernihkan demi keharmonian bersama.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page