Lantikan kabinet dijangka rancakkan semula ekonomi negara


Pelantikan Menteri Kabinet diharap akan merancakkan kembali ekonomi Malaysia yang muram sejak 3 tahun lalu.
Menurut Koordinator Gabungan Reformis Malaysia, Mustaffa Kamil Ayub, meskipun terdapat tokoh tokoh lama dalam kabinet kali ini namun terdapat juga muka baharu yang meyakinkan pasaran ekonomi seperti Rafizi Ramli, Loke Siew Fook, Nik Nazmi Nik Ahmad dan sebagainya yang dilihat memiliki daya inovasi serta kreativiti tinggi yang boleh merobah persekitaran politik negara.
"Pelantikan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan ini amat bertepatan dengan waktunya bagi merancakkan semula ekonomi, mengawal kos sara hidup, memantapkan hala tuju juga membangun Negara Madani sekaligus melonjakkan semula imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Setiap anggota kabinet mempunyai kekuatan tersendiri, tegas dan mampu bertindak sebagai satu pasukan di bawah Perdana Menteri ke 10 Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia juga mampu menjanjikan suatu kerajaan yang lebih stabil, berjiwa rakyat serta mewakili pelbagai parti, agama, kaum, gender, peringkat umur dan wilayah.
"Oleh itu kami mendukung penuh pembentukan Jemaah Menteri 2022 ini dalam mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang stabil, inklusif serta berjiwa rakyat semurninya," kata Mustaffa dalam satu kenyataan.
Presiden NGO Rapat itu berharap rakyat akan memberi dokongan penuh dan peluang kepada Jemaah Menteri Perpaduan ini untuk membuktikan mereka boleh bekerja bagi menjadikan Malaysia lebih baik daripada sebelumnya
"Kami berkeyakinan Jemaah Menteri mampu berperanan secara kolektif di saat Malaysia dilanda pelbagai kemelut politik, ekonomi, kesihatan dan seumpamanya. Dengan agenda reformasi serta mampu membawa negara ke era baharu yang lebik baik.
"Bersama Datuk Seri Anwar juga Jemaah Menteri ini mampu membangunkan Negara Madani Malaysia dengan teras rukunnya berasaskan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Sekali gus menjadi pemersatu dalam melakar persefahaman baharu politik Malaysia," katanya.
Di samping itu, kata Mustaffa, PM Anwar perlulah memperkuat dasar dasar negara madani yang diperjuangkannya seperti mengurangkan gaji Menteri, melupuskan hutang PTPTN bagi keluarga B40, menghapuskan tol bagi B40 dan menghapuskan hutang peserta FELCRA yang akan membela rakyat keseluruhannya.
"Sesungguhnya dengan izin Allah, usaha yang berterusan dan kesabaran akan memungkinkan perubahan bersejarah ini berlaku.
"Semoga kejayaan bersama Datuk Seri Anwar selaku PM10, jemaah kepemimpinannya," kata beliau lagi.




Comments