top of page

Lantik Ramanan sebagai menteri penuhi keperluan komuniti India

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 21 minutes ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Masyarakat berketurunan India merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin dengan keperluan melantik seorang menteri penuh daripada komuniti tersebut dalam barisan Kabinet.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Dr Gunaraj George (gambar) berkata langkah itu mencerminkan kepercayaan penuh kepimpinan negara terhadap komitmen pemimpin tersebut dalam memperjuangkan agenda reformasi, pembangunan inklusif serta kesejahteraan rakyat.


"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri (PMX) kerana mendengar keprihatinan dan permohonan masyarakat India, khususnya keperluan seorang menteri penuh berketurunan India yang boleh berbahasa Tamil.


"Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan penting terhadap suara, aspirasi dan sumbangan masyarakat India di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.


Semalam Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri R Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia manakala Ahli Parlimen Segamat R Yuvaneswaran menjadi Timbalan Menteri Perpaduan Negara.


Ramanan sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Gunaraj yang juga wakil rakyat Sentosa berkata kini adalah masa untuk masyarakat India terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan MADANI dan menyokong kepimpinan sedia ada.


Katanya masyarakat India boleh menyampaikan tuntutan dan keperluan komuniti secara berhemah, bersatu dan konstruktif demi masa depan yang lebih baik.


"Kami percaya amanah besar yang diberikan ini pasti dapat digalas dengan penuh dedikasi dan iltizam, khususnya dalam usaha memperkasa kebajikan pekerja, memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk serta membina sebuah Malaysia yang lebih adil, progresif dan bersatu.


"Sekali lagi, tahniah dan selamat menjalankan amanah demi negara dan rakyat," katanya yang juga Ahli MPP KEADILAN dan Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page