Lantik PM Interim: 'Bukan logik Perlembagaan, logik orang gila kuasa'
- Suara Keadilan

- Jul 12
- 2 min read

Cadangan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin agar dilantik seorang Perdana Menteri (PM) Interim atau sementara untuk menggantikan PM Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seharusnya mengambil cuti berikutan terdapat saman sivil ke atas beliau dilihat mengarut.
Bagi Ahli Parlimen Shah, Azli Yusof (gambar), tidak wujud istilah PM Interim pada waktu PM sah tidak meletak jawatan dalam amalan pentadbiran di Malaysia atau dalam sistem Westminster yang diamalkan di negara ini.
"Dalam amalan pentadbiran Malaysia dan Westminster, jika PM bercuti atau berada di luar negara, hanya seorang menteri kanan atau Timbalan PM yang akan menjalankan tugas harian PM.
"Contoh terdahulu, Tun Abdullah Badawi bila bercuti atau keluar negara TPM ketika itu Najib memangku tugas. Tun Mahathir (1981 - 2003) ketika bercuti tidak pernah diganti PM Interim.
"Pada 2020 ketika Tun Mahathir meletak jawatan beliau telah dilantik sebagai PM Interim sementara menunggu Muhyiddin Yassin dilantik PM," katanya dalam satu siaran video.
Kata Azli lagi, Perlembagaan Persekutuan tiada peruntukan melantik PM sementara selagi mana PM sah masih berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan idea Hamzah hanyalah gimik terdesak golongan yang tidak mempunyai kekuatan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
Untuk itu, katanya, golongan tersebut sengaja menyusun naratif kegemparan bagi mengelirukan rakyat kononnya pentadbiran Anwar ketika ini sedang berdepan krisis dan perlukan PM baharu.
"Itu bukan bukan logik Perlembagaan, itu logik orang gila kuasa. Sebenarnya ini bukan soal undang undang, ini soal politik murahan.
"Hamzah dengan geng dia tahu mereka tidak ada cukup angka untuk turunkan PM dan gulingkan kerajaan di parlimen. Jadi mereka cuba gunakan naratif luar, buat seolah olah negara dalam krisis dan PM perlu diganti," katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, rakyat Malaysia bukan bodoh dan mampu membaca niat sebenar Hamzah serta kelompoknya.
"Fakta tetap fakta, dan PM tidak letak jawatan. Tak ada kekosongan jawatan. Tak ada undi tidak percaya (di Dewan Rakyat) maka tidak ada keperluan untuk PM Interim.
"Kalau Hamzah berhajat sangat untuk jadi PM tunggu pilihanraya, jangan buat perkara pelik, aneh atau lucu. Negara ini ada undang undang dan Perlembagaan," katanya lagi.









Comments