
Malaysia hanya akan menjadi lebih baik sekiranya mempunyai Ahli Parlimen yang menjalankan tanggungjawab secara berkesan.
Hal itu diingatkan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr Rusnah Aluai dalam ceramah Ayuh Malaysia di Tangga Batu, Melaka, malam tadi.
Menurut Rusnah, meskipun dituduh 'kencing' dan sebagainya namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah bertindak lebih baik berbanding kerajaan BN - PN ketika ini.
Malah katanya, Ahli Parlimen PH terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira masih kerajaan atau telah menjadi pembangkang.
Ketika menjadi kerajaan, katanya, beliau pernah dilantik sebagai Ahli IPCMC yang mengawasi polis dan telah berjaya membantu memperbaiki kemudahan di beberapa balai polis di parlimennya.
"Saya pernah menjadi jawatankausa IPCMC, kita membela polis. Kita pergi bukan nak cari salah polis. Mereka yang menjaga keselamaan kita.
"Untuk badan polis, kita melaporkan kekurangan kemudahan. Saya tolong 4 balai polis di Tangga Batu apa yang patut. Bagaimana mereka nak jalan tugas yang baik jika fasiliti tak bagus," katanya.
Selain itu, fungsi utama Ahli Parlimen, kata Rusnah ialah memastikan pembuat undang undang tidak menzalimi rakyat
Fungsi itu terlaksana, katanya, apabila PH berjaya menghalang dibentangnya undang undang mahu mengenakan kompaun sehingga RM100,000 kepada individu tidak mengenakan pelitup muka dan RM1 juta kepada syarikat ketika tempoh pandemik Covid 19 yang lalu.
"Dulu ada cadangan undang undang tak pakai pelitup muka kena denda RM100,000. Mana nak cari duit (bayar denda), syarikat kena RM1 juta. Kita lawan, itu gunanya Ahli Parlimen," katanya lagi.