top of page

Langkah pantas BNM laksana reformasi tangani inflasi perubatan disambut baik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad


Pujian harus diberikan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) kerana bertindak pantas dalam menerajui pembaharuan bagi menangani inflasi perubatan di negara ini, demikian menurut seorang anggota Parlimen.


Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin (gambar) berkata bank pusat itu bersama Kementerian Kesihatan (KKM) semalam mengemukakan secara terperinci 11 inisiatif reformasi setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.


"Sejak tercetusnya kontroversi kenaikan insurans perubatan pada Oktober 2024, BNM telah bertindak dengan pantas.


"Saya sentiasa menaruh harapan tinggi terhadap BNM dan hakikatnya mereka tidak mengecewakan kita," katanya dalam kenyataan.


Sim yang juga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata BNM bertindak pantas mengumumkan langkah interim berkaitan isu tersebut yang begitu penting meredakan kemarahan pemegang polisi.


"Langkah interim selama tiga tahun itu memberi masa yang mencukupi kepada kerajaan dan para pemegang taruh untuk mencari serta melaksanakan penyelesaian jangka panjang bagi mengekang inflasi perubatan," ujarnya.


Menjelang Februari lalu, PAC menjemput BNM ke prosiding buat pertama kali, mereka telah membentangkan sembilan inisiatif reformasi, ujar beliau.


"BNM dan KKM telah menyediakan halatuju yang jelas ke hadapan," katanya.


Tambah beliau inisiatif-inisiatif reformasi ini adalah panjang dan sukar untuk dilaksanakan.


"Ia tidak dijamin akan berjaya, tetapi sekurang-kurangnya sudah ada jalan ke hadapan dan ia kelihatan boleh dilaksanakan.


"Langkah interim yang diumumkan oleh BNM pada Februari bersifat sementara. Jika kita gagal mencari penyelesaian menyeluruh, inflasi perubatan akan melonjak selepas 2026.


"Justeru itu, kegagalan bukan satu pilihan," katanya.


Semalam BNM dalam Simposium Sasana 2025 telah membentang pembaharuan dalam ekosistem perubatan negara melalui lima strategi dikenali sebagai RESET.


Jawatankuasa RESET yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II dan Menteri Kesihatan akan melaksanakan reformasi berasaskan lima teras utama dan 11 inisiatif antaranya rombakan skim perlindungan Insuran/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT).


Selain itu, ia juga melibatkan pengukuhan ketelusan harga antara lainnya kewajipan mempamer harga ubat; menguatkan sistem kesihatan digital dan meluaskan pilihan keberkesanan kos membabitkan pelaksanaan perkhidmatan "Ekonomi Premium" Rakan KKM.


Perubahan juga melibatkan transformasi mekanisme penyedia pembayaran.

Kommentare


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page