Langkah KUSKOP perkenal BARAKAT, BERKAT tepat pada masa - Najwan
- Suara Keadilan

- 59 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Langkah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkenalkan dua program pembiayaan khas sempena musim perayaan disambut baik Kerajaan Selangor.
Exco Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi (gambar), berkata Skim Pembiayaan Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) dan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) dilancarkan tepat pada masanya untuk membantu penjaja dan peniaga kecil menghadapi cabaran aliran tunai serta kenaikan kos perniagaan.
"Saya menyambut baik pengumuman Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong, mengenai penyediaan dana pembiayaan khas bagi memperkasa usahawan mikro di seluruh negara.
"Inisiatif ini menunjukkan komitmen berterusan KUSKOP memastikan peniaga kecil tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi," katanya dalam kenyataan.
Pada Khamis, Sim mengumumkan pembiayaan BARAKAT berjumlah RM50 juta melalui TEKUN Nasional untuk usahawan mikro Bumiputera sepanjang Ramadan, manakala BERKAT berjumlah RM30 juta ditawarkan SME Corp untuk golongan sasar dalam komuniti Cina.
Kedua-dua program itu menawarkan pinjaman sehingga RM30,000 dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun dan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 1,666 usahawan kecil dan sederhana.
Najwan sementara itu menegaskan, usaha digerakkan KUSKOP ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengembangan perniagaan, malah berupaya meningkatkan pendapatan usahawan, khususnya menjelang dua perayaan besar yang amat signifikan kepada landskap ekonomi rakyat.
Justeru beliau menyeru usahawan-usahawan di negeri Selangor merebut peluang tersebut.









Comments