top of page

Langkah Kementerian Komunikasi, MCMC beri amaran kepada TikTok wajar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 days ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Tindakan Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada platform TikTok supaya segera menurunkan kandungan berunsur fitnah dan sensitif disifatkan sebagai langkah yang wajar dan tepat demi menjaga ketenteraman awam.


Timbalan Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur), Shahbudin Embun berkata, penguatkuasaan terhadap pengendali media sosial sepatutnya sudah lama dilaksanakan kerana kandungan palsu dan manipulasi video yang tidak dikawal berpotensi menimbulkan keresahan rakyat serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.


"Kebebasan bersuara adalah hak rakyat, tetapi ia perlu berpaksikan tanggungjawab. Media sosial tidak boleh dijadikan platform menyebarkan sentimen perkauman atau maklumat palsu yang membakar emosi masyarakat.

Shahbudin Embun
Shahbudin Embun

"Kita dapat lihat kejadian buli siber, penghinaan kepada Perdana Menteri, kenyataan sensitif yang ditujukan kepada institusi raja di Malaysia berlaku.


"Penguatkuasaan adalah perlu, kalau tidak ia diihat “tidak bergigi”. Sepatutnya ia (penguatkuasaan) telah lama dilakukan. Tapi buat masa ini kita puji inisiatif dan tindakan Fahmi (Meneri Komunikasi) beri amaran," katanya kepada Suara Keadilan.


Beliau turut merujuk insiden bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Roy Suryo yang memuatnaik meme yang disunting berwajah Presiden Jokowi pada arca Buddha di Candi Borobudur.


Gambar yang dimanipulasi itu menimbulkan kemarahan, bukan sahaja kerana ia dianggap mempermainkan imej presiden, tetapi juga kerana dianggap menghina agama Buddha.


Pada Ogos 2022, Roy Suryo ditahan mengikut undang-undang yang melindungi keharmonian agama dan berdepan hukuman termasuk penjara hingga enam tahun dan denda.


Justeru kata Shahbudin, merujuk insiden di Indonesia serta berdasarkan beberapa kes sebelum ini di Malaysia, termasuk video yang diputar belit sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap pemimpin serta berita palsu mengenai bencana, jelas menunjukkan bagaimana media sosial boleh menjadi medan penyebaran fitnah.


"Keadaan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh mengganggu kestabilan ekonomi dan politik negara.


"Di Indonesia, undang-undang dan penguatkuasaan itu sangat berkesan. Tetapi di Malaysia, saya melihat undang-undang itu tidak digunakan.


"Buat masa ini untuk langkah awal, apa yang dilakukan oleh Fahmi (Menteri Komunikasi) itu wajar disokong," kata Shahbudin lanjut.


Kementerian Komunikasi berdasarkan kenyataan menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata bahawa platform media sosial TikTok boleh dikenakan tindakan undang-undang jika gagal melaksanakan tindakan sewajarnya untuk menangani jenayah dalam talian.


Menurut Fahmi setakat ini, platform tersebut masih gagal menyediakan moderator mencukupi untuk mengawasi dan menilai kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.


Meskipun pengendali platform itu telah menurunkan sejumlah 76,002 kandungan bertentangan dengan garis panduan mereka sendiri sejak Januari lalu, namun 10,730 kandungan lagi yang diminta oleh kerajaan untuk diturunkan gagal dipatuhi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page