top of page

Landskap politik berbeza, KEADILAN tawarkan politik rangkumi semua kaum

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Sep 12
2 min read

Landskap politik Malaysia hari ini memberi peluang kepada semua parti, sama ada besar atau kecil, untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan dan berpotensi memerintah negara, kata mantan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua (gambar).


Beliau berkata keadaan itu berbeza berbanding era lalu apabila hanya parti tertentu dilihat mempunyai peluang dominan untuk membentuk kerajaan, namun perkembangan politik semasa menjadikan persaingan lebih terbuka.


"Landskap politik hari ini semua parti mempunyai peluang sama untuk memerintah kerana persaingan itu semua orang rasa ada peluang jadi pemerintah, semua nak jadi Perdana Menteri," katanya dalam Ceramah Kelompok Biro Penerangan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Cabang Batu, malam tadi.


Menurut Tian, perkembangan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang mengelirukan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses politik yang memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat.


Mantan Ahli Parlimen Batu itu berkata, kerana itu KEADILAN perlu memberi tumpuan kepada usaha membina keyakinan dalam kalangan anggotanya sebelum parti turun ke lapangan untuk berkempen dan mengadakan ceramah besar-besaran.


"Sebelum kita pergi keluar, buat ceramah besar kita harus membina keyakinan dalam kalangan anggota. Kita harus jelaskan sekarang mengapa kita harus jadikan KEADILAN satu-satu parti yang mempunyai masa depan panjang, sentiasa relevan dalam pentas politik, melebihi siapa jadi Menteri Besar atau siapa jadi PM," katanya.


Tian turut mengimbas perdebatan mengenai hala tuju negara sejak merdeka, termasuk aliran politik yang menekankan kedudukan Bumiputera, perjuangan menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran serta gagasan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.


"Sejak merdeka ada pelbagai perbahasan hala tuju negara. Ada sekumpulan kata penjajah sudah pergi tanah ini harus dikembalikan kepada penduduk asal, Bumiputera. Mereka tubuhkan Umno dan (negara) perlu kembali kepada yang penduduk asal di sini.


"Ada sekumpulan lagi, kita harus ikut undang-undang majoriti penduduk sini. Kita ubah jadikan negara ini ditadbir dengan hukum Islam.


"Ada sekumpulan (lain) menganggap kita harus terima realiti negara kita, iaitu negara majmuk. Harus sama-sama majukan negara. Jadikan rumah untuk semua orang," katanya.


Menurut Tian, ketiga-tiga aliran berkenaan masih mempunyai relevansi dan dapat dilihat dalam arus gabungan politik yang membawa cadangan berbeza mengenai masa depan Malaysia.


Beliau berkata KEADILAN pula perlu membawa gagasan yang berpandangan ke hadapan dengan mengambil kira perubahan dunia, khususnya dalam bidang ekonomi dan teknologi.


"Apa yang KEADILAN bawa ialah negara ini tidak boleh sentiasa pandang ke belakang. Kita harus ke depan, oleh itu kita harus mengakui dunia berubah, ekonomi, teknologi makin berubah.


"Kita tidak boleh secara nostalgia fikir zaman dulu. Anggap kita kembali ke zaman dulu semua selesai," katanya.


Katanya, kedudukan Malaysia yang relatif stabil ketika dunia berdepan pelbagai pergolakan memberikan kelebihan strategik kepada negara, khususnya dari sudut perdagangan antarabangsa.


"Kita lihat dunia bergolak, Malaysia secara relatif stabil. Kita di pusat perdagangan dunia.


"Selat Melaka 70 peratus minyak dunia melalui sini. Itu sebab kita kaya. Hampir separuh logistik global terpaksa melalui Selat Melaka, ini menjadikan kita negara sangat penting dari segi perdagangan," katanya.


Mengulas pendekatan KEADILAN, Tian Chua berkata formula politik yang dibawa parti itu perlu disokong dengan dasar dan usaha sebenar, bukan sekadar retorik.


"Kenapa KEADILAN tawarkan formula politik paling sesuai untuk keadaan Malaysia. Lihat Indonesia, satu rupiah bersamaan dua sen Malaysia. Inilah kalau kita tidak latih ekonomi (dalam kalangan pentadbir).


"Kita tidak boleh bergantung kepada retorik. Harus bergantung kepada usaha dan mempunyai dasar yang baik," katanya.


Justeru, katanya anggota parti perlu mempunyai keyakinan terhadap usaha kerajaan semasa dalam mengurus negara, walaupun masih terdapat beberapa kelemahan dan masalah yang perlu ditangani.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page