top of page

Laluan Batang Kali - Genting dibuka sepenuhnya tahun depan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Apr 18, 2023
1 min read


Kerajaan Negeri Selangor menjangkakan kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan di laluan Batang Kali-Genting Highlands yang terjejas ekoran kejadian tanah runtuh Desember lalu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.


Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dalam satu sidang media di Shah Alam semalam berkata, peruntukan lebih RM20 juta sudah diluluskan.


Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menurutnya sedang melaksana kerja-kerja pembaikan jalan berkenaan.

"Kita kena siapkan dulu tembok atau dinding penahan dan teknologi diguna pakai adalah sesuai dengan kawasan itu yang sempit selain ia bertahan lebih baik.


"Kontraktor sudah kita lantik untuk melaksanakan kerja-kerja (cerun) itu termasuk jalan. Perlukan masa 10 bulan dan dijangka pertengahan tahun depan sudah boleh digunakan jalan itu," katanya.


Laluan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands sebelum ini ditutup susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa itu.


Susulan gesaan ramai, laluan itu dibuka semula secara terhad mulai 6 Januari lalu kepada kenderaan yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter).


Bagi mengurangkan kesesakan dan risiko, Izham menggesa pengguna terus menggunakan laluan alternatif yang ditetapkan pihak berkuasa sehingga laluan itu dibuka kembali sepenuhnya kelak.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page