Lakukan reformasi undang undang tanah Sarawak, elak untungkan syarikat peladangan
- Suara Keadilan
- Apr 13, 2024
- 2 min read

Kerajaan Sarawak seharusnya melakukan reformasi undang undang tanah di negeri itu sebelum mengumumkan untuk mengukur memisahkan kawasan tanah adat dan tanah negeri.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, pemisahan tanah adat dan tanah negeri sekiranya tanpa reformasi undang undnag hanya akan merugikan rakyat tetapi menguntungkan syarikat-syarikat perladangan.
"Walaupun banyak kampung telah menerima skim pengukuran keliling ini di bawah Section 6 Kanun Tanah Sarawak 1958, ini tidak bermakna skim pengukuran keliling (perimeter survey) ini berjaya menyelesaikan tuntutan atau pertikaian tanah adat di seluruh Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Roland berdasarkan sejarah, Sarawak telah ditadbir oleh Bumiputera Sarawak sejak 1963 dan majoriti rakyat Sarawak ialah Bumiputera maka tidak masuk akal pengukuran dan pengeluaran geran tanah adat di bawah Section 18 Kanun Tanah Sarawak 1958 masih gagal dilaksanakan.
Dengan kedudukan kewangan Sarawak hari ini, katanya, tiada lagi alasan remeh untuk melambat-lambatkan pengukuran tanah adat di bawah Seksyen 18.
Sehubungan itu beliau mengusulkan supaya Perlembagaan Sarawak direformasikan bagi memberi keadilan kepada semua.
"Saya dengan ini mengusulkan agar Perlembagaan Sarawak, undang-undang tanah dan polisi tanah Sarawak direformasikan segera," katanya.
Di bawah reformasi Perlembagaan Sarawak itu dicadnagkan, semua tanah adat yang tidak bergeran dianggap sebagai tanah adat kecuali dibuktikan sebaliknya. Seksyen 5(7) Kanun Tanah Sarawak 1958 mesti dimansuhkan; adat sempadan kampung ialah adat yang ada kuatkuasa undang-undang dan hak tanah adat tidak boleh dihapuskan (not extinguishable).
Beliau juga mencadangkan Bumiputera Sarawak boleh membenarkan tanah adat mereka disewa oleh Kerajaan dan kaum bukan bumiputera; Badan Pendanaan Tanah Adat mesti diwujudkan segera bagi membolehkan Bumiputera Sarawak diberdayakan secara kewangan untuk memajukan tanah adat mereka
Bagi lantikan ketua kaum pula, Roland mencadangkan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat mesti dipilih mengikut adat setiap kampung dan daerah; Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat yang dipilih mengikut adat diberi kuasa di bawah Native Court Ordinance untuk membicarakan kes tanah adat.
"Kerajaan Sarawak juga mesti menerima pakai prinsip United Nations Declaration on the arights of Indigenous Peoples (UNDRIP) dengan segera dan undang-undang Sarawak mesti digubal selaras dengan UNDRIP.
"Di peringkat Kerajaan Persekutuan, UNDRIP mesti diratifikasikan (to be ratified) segera. Ini adalah untuk pembelaan hak bumiputera Sarawak," katanya lagi.
Comentarios