Kerajaan Persekutuan wajar menghormati dan melaksanakan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya agihan vaksin Covid-19 dipercepatkan untuk negeri berkenaan berdasarkan jumlah penduduk dan meluasnya jangkitan pandemik.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, titah baginda Sultan tersebut bertepatan dengan keadaan semasa di mana pemberian dos vaksin adalah tidak seimbang dibandingkan dengan keperluan 6.5 juta rakyat Selangor.
"Rakyat Selangor menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor meminta agar agihan vaksin Covid-19 dipercepatkan untuk negeri ini.
"Dalam keadaan pandemik yang begitu meruncing adalah wajar nyawa rakyat diberikan keutamaan berbanding agenda-agenda lain. Selangor selaku negeri yang menyumbangkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terbesar negara tidak seharusnya dilayan sebelah mata dan tidak adil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azmizam lagi, titah tersebut sepatutnya mendapat perhatian serius Kerajaan Persekutuan selain ianya menghilangkan tohmahan kononnya berlaku permainan politik, tiada kerjasama antara negeri dan pusat atau sistem pengurusan Covid 19 yang dibangunkan Kerajaan Negeri bermasalah sebagaimana ditimbulkan di media masa.
"Titah ini harus diberikan perhatian dan tidak wujud lagi pelbagai tohmahan, ketidakcekapan data serta mainan politik yang bakal merencatkan sasaran kita untuk mencapai herd immunity (imuniti kelompok).
"Selain itu, saya turut menggesa ADN Perikatan Nasional Selangor untuk turut sama memainkan peranan dalam mendesak Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan proses penyediaan vaksin.
"Setakat ini belum kedengaran desakan yang tuntas dan konsisten sebagaimana yang dilakukan oleh ADN Pakatan Harapan Selangor. Perkara penting ini amat wajar dilakukan bersama oleh semua ADN dan tidak berasaskan politik kepartian semata-mata," katanya lagi.
Commentaires