Industri hiburan negara masih banyak yang perlu diperbaiki terutama membabitkan kebajikan golongan seniman atau artis yang terlibat dan perlu ditangani secara lebih menyeluruh.
Hal itu dibangkitkan oleh pengarah dan pelakon terkenal Datuk Afdlin Shauki dalam program Kerusi Hangat anjuran Jom Channel, malam tadi.
Beliau berkata, suatu anjakan perlu dilakukan di dalam industri hiburan dengan diterajui oleh kepimpinan yang lebih cenderung dalam bidang hiburan negara, sekaligus memastikan kelancaran pentadbiran agensi yang menyokong industri hiburan tanah air.
"Sesuatu perlu dilakukan untuk membantu industri seni menjadi lebih kuat dan ada 'protection' (perlindungan) oleh orang yang faham tentang industri hiburan.
"Kalau ada orang memahami industri duduk di tempat (sepatutnya) itu lebih cepat dan lebih banyak kerja yang akan dilakukan untuk membuat reformasi untuk industri," katanya.
Bagi Afdlin, penglibatan dirinya dalam industri hiburan selama 30 tahun tidak menyaksikan banyak perubahan yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu untuk memperkasakan industri berkenaan.
Ditanya soalan berkenaan politik oleh warganet berkenaan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap dunia seni, Afdlin yakin dari pendapat peribadinya bahawa Presiden KEADILAN itu mempunyai ciri-ciri pemimpin yang menghargai seni.
Beliau juga yakin Anwar mampu memulihkan negara dan mengembalikan Malaysia sebagaimana era kegemilangannya pada 1990an lalu.
"Saya rasa rakyat boleh lihat siapa Anwar apabila beliau menggalas tugas sebagai Perdana Menteri dan tengoklah bagaimana tegas dan sabarnya beliau.
"Seseorang yang berkarisma yang saya rasa boleh membawa negara kita ke suatu arah kebaikan kerana idea-ideanya serta hubungannya dengan negara luar dapat dipergunakan untuk memperbaiki negara kita," katanya.
Comments