Laksana Matriks Pembelajaran tidak kembalikan budaya ranking
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Pelaksanaan Matriks Pembelajaran bagi murid tahun empat dan tingkatan tiga tidak akan menghidupkan semula budaya ranking atau penarafan sekolah yang memberi tekanan kepada guru dan murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) menegaskan, pendekatan baharu itu menumpukan integriti serta intervensi berfokus selaras dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah di bawah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan.
Tambahnya, pelaksanaan matriks berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP), termasuk penyediaan instrumen, panduan penskoran dan pengeluaran slip keputusan.
"Instrumen serta panduan penskoran akan disediakan dan dicetak oleh LP. Jadi guru tak perlu menyediakan instrumen bagi Matriks Pembelajaran ini, semua disediakan oleh LP.
"Selepas proses pentaksiran selesai, slip keputusan akan dikeluarkan oleh LP, pihak sekolah akan mencetak slip dan akan diedarkan kepada murid.
"Kertas pentaksiran Matriks Pembelajaran Malaysia akan diberikan semula kepada murid selepas selesai proses perekodan untuk tujuan intervensi," katanya dipetik di Dewan Negara pada Isnin.
Matriks Pembelajaran Tahun Empat melibatkan mata pelajaran teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, termasuk bahasa ibunda bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT). Ia dijadual bermula Oktober 2026, manakala bagi Tingkatan Tiga pada 2027.
Mengulas lanjut pelaksanaan pendekatan itu Fadhlina berkata, matriks berkenaan akan membolehkan pencapaian murid dinilai bagi membantu guru, sekolah dan Kementerian Pendidikan untuk merangka intervensi yang lebih berfokus dan intensif bagi memperkukuh penguasaan literasi, numerasi dan kemahiran saintifik murid.
"Data diperoleh daripada Matriks Pembelajaran dapat membantu sekolah dan guru untuk memahami keperluan murid dengan lebih tepat.
"Ia sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi pentaksiran antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA)," tambahnya.




Comments