Pemilihan KEADILAN 2022 diserikan lagi dengan pencalonan ahli politik senior Datin Faizah Ariffin bertanding pada posisi Timbalan Ketua Wanita KEADILAN
Menurut Faizah, beliau yang merupakan Naib Ketua Wanita ketika ini diminta oleh anggota akar umbi untuk memantapkan lagi gerakan itu menuju Pilihan Raya Umum ke 15.
"Kini KEADILAN akan mengadakan pemilihan parti dalam situasi PRU akan diadakan pada bila bila masa. Dalam hal ini dua perkara tidak boleh kita pisahkan dalam meletakkan keadilan untuk kekal relevan dan organiasai kekal lancar untuk mengangkat isu nasional juga isu rakyat.
"Justeru itu, berbekalkan sedikit pengalaman bergelumang dengan gerakan rakyat pada 1998, terlibat aktif dengan Cabang KEADILAN Hulu Selangor pada 2006, berada dalam organisasi Wanita KEADILAN pusat selaku Exco selama 2 penggal sejak 2010, menang jawatan Naib Ketua Wanita pada 2018, dan berkhidmat kepada 3 Ketua Wanita KEADILAN.....
"Saya merupakan individu yang lahir dari dapur Wanita KEADILAN dan memahami rencam perjalanannya. Saya melihat di samping mengangkat isu nasional tidak boleh dipandang mudah pula soal fokus membina kekuatan parti bukan sahaja di peringkat pusat, bahkan juga Cabang dan Ranting.
"Maka di atas keinsafan perjuangan KEADILAN bukan kerana individu tertentu tetapi diangkat dengan cara kerja berpasukan saya menyambut permintaan akar umbi, yang meminta saya berperanan di posisi yang lebih tinggi daripada yang dimenangi pada pemilihan yang lepas
"Sehubungan itu saya bersetuju menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Wanita KEADILAN bagi memperkasakan lagi gerak kerja wanita di semua peringkat," katanya dalam siaran media petang ini.
Dalam pada itu, Faizah juga berjanji akan bekerjasama dengan mana mana calon yang akan terpilih sebagai Ketua Wanita KEADILAN bagi memantapkan sayap parti berkenaan
"Saya bersedia memberikan kerjasama baik kepada sahabat saya yang menawarkan diri sebagai Ketua Wanita KEADILAN pusat dan memberikan kerjasama penuh apabila salah seorang dari mereka terpilih kelak.
"Pemilihan KEADILAN sedang diperhatikan rakyat dan menjadi medan pertimbangan untuk mereka menilai dan memberikan keyakinan serta meletakkan kepercayaan untuk kita memimpin Malaysia pada PRU ke 15 nanti.
"Oleh itu, saya mengajak semua anggota parti yang bertanding atau menyokong mana mana pimpinan parti agar meletakkan 18 matlamat perjuangan KEADILAN yang menterjemahkan kematangan kita sebagai garis yang perlu dijaga. Dalam konteks jemaah KEADILAN tiada siapa yang istimewa dan melebihi kepentingan parti dan perjuangan Reformasi," katanya.
Selain itu, Faizah turut mengambil kesempatan sempena ulang tahun parti yang ke 23 agar anggota mengingat semula jerih perih perjuangan parti sejak 1998.
Katanya, parti dibina oleh rakyat biasa, nelayan, buruh kasar dan perlu menjadi jurubicara rakyat marhaen dan golongan rentan.
Comments