Lagu rasmi Wanita KEADILAN Sabah dilancar
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Wanita KEADILAN Sabah melakar sejarah apabila buat julung kalinya melancarkan lagu rasmi sayap wanita itu dalam satu majlis penuh bermakna pada bertempat di Raia Hotel, Kota Kinabalu Sabah pada 28 Jun lalu.
Ketua Penerangannya, Junaidah Makku@Junn berkata, lagu tersebut dihasilkan sebagai simbol semangat, perpaduan dan iltizam perjuangan Wanita KEADILAN Sabah.
''Liriknya mengetengahkan mesej keberanian, ketegasan beradab, integriti serta tanggungjawab kolektif yang menjadi teras kepada kepimpinan wanita yang progresif dan berwawasan.
''Lagu ini turut memperkukuh peranan wanita sebagai tunjang kebajikan masyarakat, penggerak Program MADANI dan kekuatan utama parti di akar umbi,'' katanya yang memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan.

Majlis bersejarah itu telah disempurnakan oleh Ketua Wanita KEADILAN Pusat merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Junaidah menyifatkan, kehadiran Fadhlina sebagai suatu penghormatan besar yang memberi makna mendalam kepada usaha mengukuhkan gerakan wanita parti di Sabah, selain menjadi pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam memperjuangkan agenda reformasi secara konsisten di negeri tersebut.
Dengan pelancaran itu kata Junaidah, Wanita KEADILAN Sabah bukan sahaja memperkenalkan identiti seni tersendiri, tetapi pada masa sama memperkukuh jati diri dalam perjuangan politik yang inklusif dan progresif.
Exco Wanita KEADILAN Pusat itu juga menambah bahawa hak cipta dan reka cipta lagu tersebut adalah milik sepenuhnya Wanita KEADILAN Sabah.
''Lagu ini merupakan harta intelek organisasi dan simbol kebanggaan gerakan wanita parti di negeri ini,'' ujarnya lagi dengan penuh semangat.
Karya hasil kolaborasi kreatif barisan Wanita KEADILAN Sabah yang berwibawa ini dibangunkan dengan penuh dedikasi oleh individu-individu yang memainkan peranan penting di sebalik tabir iaitu:
Penasihat Pelancaran: Datin Rufinah Pengeran
Penulis Lirik: Junaidah Makku dan Lobiah Gintoron
Pengurusan Produksi: Armisah Garan
Penyanyi: Lobiah Gintoron
Comments