Ladang khinzir di Perak: Masa berkuasa mengapa Pas tidak selesaikan?
- Suara Keadilan
- Apr 17
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dinasihatkan agar membuat kajian dan semakan fakta sebelum memainkan isu sensitif seperti ladang khinzir di DUN Ayer Kuning, tegas Khairol Najib Hashim.
Ketua Pemuda AMANAH Perak itu berkata, pihaknya memandang serius isu ladang khinzir di kawasan tersebut yang dibangkitkan ADUN Manjoi, Mohd Hafez Sabri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Katanya, tindakan menjadikan ladang khinzir sebagai isu perkauman bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah cuba mengaburi mata rakyat daripada kegagalan mereka sendiri ketika memegang tampuk kuasa di Perak pada 2020 - 2022.
''Ketika Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Perak dari 2020 hingga 2022, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria memegang portfolio sebagai Exco Pertanian, Perladangan, Industri Makanan dan Sekuriti Makanan.
''Portfolio ini secara langsung berkaitan dengan isu penternakan, termasuk ladang babi.
''Namun sepanjang tempoh tersebut, tiada sebarang tindakan konkrit atau pelan penyelesaian yang dibentangkan oleh Razman dan Pas dalam kerajaan untuk menangani isu ladang khinzir di Ayer Kuning,'' tempelak beliau menerusi satu kenyataan.
Malah dakwanya lagi, sepanjang tempoh berkenaan tiada sebarang tindakan konkrit atau pelan penyelesaian dibentangkan oleh Razman dan Pas untuk mengatasi isu tersebut.
''Tiada pelan pemindahan, tiada perancangan penyusunan semula, malah isu ini langsung tidak dijadikan keutamaan. Boleh dikatakan, sepanjang tempoh tersebut seekor khinzir pun tidak ‘diusik’.
''Kini setelah tidak lagi memegang kuasa, mereka cuba menuding jari kepada Kerajaan Perpaduan dengan memainkan sentimen perkauman.
''Ini adalah satu tindakan hipokrit dan tidak bertanggungjawab. Jangan sampai akhirnya, ludah ke muka sendiri,'' bidas beliau lagi.
Justeru beliau menyeru semua pihak agar tidak memperalatkan isu kaum atau agama demi kepentingan politik sempit.
Isu-isu seperti itu katanya, sepatutnya ditangani dengan fakta dan perancangan bukan retorik dan pembohongan.
''Rakyat Perak berhak mendapat maklumat yang tepat dan pemimpin yang berintegriti.
''Marilah kita bersama-sama menolak politik kebencian dan membina negeri Perak yang harmoni dan sejahtera,'' katanya.
Comments