
Pertubuhan mewakili veteran tentera, Seketariat Veteran Bertindak (SVB) hari ini menghantar satu memorandum ke Istana Negara memohon agar Yang di-Pertuan Agong mengarahkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menghuraikan isu pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang yang dijadikan ladang durian Musang King.
SVB yang menghantar memorandum di Pintu 3 Istana Negara pagi tadi menegaskan, siasatan perlu dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menjadi punca penerokaan haram tersebut, termasuk kemungkinan melibatkan pegawai-pergawai perkhidmatan awam.
"Memohon Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya mengambil perhatian perkara berkaitan isu pencerobohan tanah haram oleh peneroka durian yang melibatkan 111 peneroka di Raub, Pahang.
"Memohon Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala kemungkinan salahlaku oleh penjawat awam semenjak 40 tahun yang lalu, berkenaan amalan rasuah dan salah guna kuasa," ujar kenyataan tersebut yang dibacakan oleh wakil SVB.
SVB juga memohon agar undang-undang yang menegaskan hak dan kebajikan bekas anggota tentera dikuatkuasakan. Menurut SVB kebajikan veteran sewajarnya dibela dengan menguniakan tanah tapak rumah dan 10 ekar kawasan pertanian kepada veteran atau balu mereka.
"Memohon Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya keadilan kepada orang Melayu khasnya veteran tentera dapat ditegakkan. Hal ini mengikut perlembagaan Kementerian Pertahanan dan Kerajaan yang telah menganugerahkan tanah kepada bekas-bekas tentera seperti yang termaktub dalam PAMT1-973, yakni peruntukan tanah kepada bekas tentera di Raub yang juga telah dicerobohi peneroka-peneroka tersebut dipulangkan kembali kepada veteran tentera.
"SVB turut merasakan perlunya kerajaan menggubal akta 740 Veteran Tentera dengan menawarkan keistimewaan perolehan satu bidang tanah lot perumahan dan 10 ekar tanah pertanian di seluruh malaysia kepada veteran dan balu-balu tentera," kata kenyataan itu lagi.
Gabungan NGO veteran tentera berkenaan berharap agar Yang di-Pertuan Agong mempertimbang masalah para veteran di seluruh negara yang rata-ratanya hidup susah setelah berjuang dan berkorban menentang pengganas komunis, terutamanya di daerah Raub, Pahang.
Kenyataan bersama berkenaan dikeluarkan oleh Penasihat Seketariat Veteran Bertindak, Abdul Rani Kulup Abdullah; Pengerusi Seketariat Veteran Bertindak, Azizan Salleh dan Setiausaha Agung Seketariat Veteran Bertindak, Mejar Razali Zakaria.
Comments