Label PH tamak kuasa: Azmin pengkhianat, sila letak jawatan wakil rakyat


Menteri Kanan Azmin Ali wajar mencermin muka sendiri sebelum menuduh pihak yang mahu mengambil semula Kerajaan Persekutuan sebagai tamak kuasa. Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Azmin tidak perlu berlagak suci membidas orang lain gila kuasa sedangkan maruah beliau sendiri tercalar teruk akibat perbuatan khianat terhadap Pakatan Harapan (PH). Katanya, jika Azmin ahli politik yang mementingkan digniti maka seharusnya beliau meletak jawatan wakil rakyat dan bertanding semula di atas tiket parti baharu bagi menguji adakah kemenangannya pada pilihan raya lalu kerana rakyat mengundi KEADILAN atau pun populariti beliau. "Saya ingin mencabar Azmin melepaskan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa. "Azmin perlu buktikan tindakan beliau berkhianat terhadap KEADILAN boleh diterima dengan kembali bertarung di gelanggang pilihan raya "Beliau perlu belajar mendapatkan mandat rakyat secara bermaruah dan bukannya dengan jalan pintu belakang," kata Syed dalam satu kenyataan. Bagi Syed Badli, beliau amat yakin rakyat Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa bijak menilai dan mereka akan menolak pengkhianat yang mengkhianati amanah serta perjuangan rakyat. "Azmin perlu sedar bahawa kuasa yang beliau miliki adalah hasil undi rakyat melalui logo Parti Keadilan Rakyat. "Saya yakin Azmin tidak akan mampu bergelar wakil rakyat tanpa dukungan KEADILAN dan rakyat memilih beliau berdasarkan logo parti. "Pengkhianatan terhadap parti yang telah berjasa kepadanya adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan Azmin akan tetap dikenang sebagai pengkhianat sepanjang zaman," katanya lagi. Semalam, Azmin dilaporkan berkata negara tidak wajar diheret ke dalam satu lagi krisis politik yang mana rakyat dijadikan mangsa hanya kerana seseorang yang gila kuasa dan mahu menjadi perdana menteri. Beliau juga berkata kepada media, tidak tahu menahu bahawa PH dan Warisan mempunyai sokongan 129 anggota parlimen dan boleh membentuk Kerajaan Persekutuan baharu sebagaimana digembar-gemburkan media sosial.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio