Label ‘Perdana Menteri Telefon’ taktik murahan pembangkang tutup kegagalan
- Suara Keadilan

- Oct 21
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gelaran ‘Perdana Menteri Telefon’ membuktikan pembangkang gagal memahami makna sebenar diplomasi antarabangsa.
Ketua Cabang KEADILAN Pasir Gudang, Murad Jailani (gambar) berkata, segelintir pimpinan serta penyokong pembangkang yang masih terperangkap dalam gaya politik fitnah dan kebencian tidak menyedari bahawa pendekatan diplomatik Perdana Menteri telah membuahkan hasil yang signifikan.
"Hubungan baik Perdana Menteri dengan pemimpin dunia telah membuka ruang besar kepada Malaysia — bukan sahaja dalam memperkukuh ekonomi negara, malah membantu menyelesaikan isu kemanusiaan seperti pembebasan peserta misi Sumud baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Murad, usaha berterusan Anwar juga menonjolkan peranan Malaysia dalam penyelesaian konflik serantau termasuk antara Kemboja dan Thailand, di samping mengembalikan keyakinan pelabur terhadap keutuhan institusi negara.
"Ironinya, ini yang gagal ditonjolkan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
"Sewaktu mereka memegang tampuk kuasa, banyak urusan penting negara gagal diselesaikan dengan baik — pelaburan asing merosot teruk, hubungan luar negara longgar hingga Malaysia dilihat terasing di pentas serantau," katanya.
Beliau menambah, serangan pembangkang yang memperlekeh usaha Perdana Menteri hanyalah taktik murahan untuk menutup kegagalan mereka sendiri.
Pembangkang juga tegasnya gagal memahami bahawa rakyat sudah matang menilai hasil nyata daripada diplomasi dan hubungan antarabangsa yang dibina Anwar, termasuk kestabilan ekonomi, peningkatan pelaburan serta kesejahteraan rakyat.









Comments