
Sebarang keputusan untuk membenarkan pengeluaran tambahan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya akan meletakkan pencarum dalam risiko kewangan jangka panjang ketika persaraan nanti, kata Perdana Menteri.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ini jumlah simpanan pencarum berada dalam keadaan membimbangkan.
Empat kemudahan pengeluaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu telah menyebabkan sebahagian pencarum hanya memiliki jumlah baki persaraan yang tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.
Malah KWSP juga menganggarkan ahli terpaksa bekerja antara empat sehingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik.
"Sehingga 31 Disember 2022, seramai 6.7 juta ahli atau 51 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 selepas pengeluaran berkenaan.
"Amaun ini menyebabkan ahli memperoleh pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan itu sebelumnya mengulas soalan bertulis Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu tahu adakah kerajaan akan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.
Sehubungan itu katanya, kerajaan menerusi Belanjawan 2023 akan mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan sendiri yang khusus untuk jaminan hari tua mereka.
Sementara itu, Anwar ketika mengulas lanjut kesan pengeluaran caruman sebelum ini berkata sebarang keputusan membenarkan simpanan pencarum juga akan memerlukan KWSP untuk menyediakan aliran tunai bagi menampung amaun pengeluaran yang besar tersebut.
KWSP jelasnya perlu mengambil langkah-langkah pengimbangan portfolio dengan mengambilkira pegangan tunai semasa, kecairan dan kematangan pegangan instrumen-instrumen berpendapatan tetap selain memperlahankan aktiviti pelaburan domestik.
"Ini menyebabkan kekangan bagi penyertaan ke dalam peluang-peluang pelaburan baharu dan akan memberikan kesan secara langsung dari segi kehilangan potensi pulangan jangka masa panjang yang turut menjejaskan peluang bagi menjana pendapatan untuk tujuan pembayaran dividen kepada ahli pada masa hadapan," ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan itu.