Oleh: Abdullah Zaid
Penggantian kepada skim pencen penjawat awam lantikan baharu perlu dilakukan biar pun polisi berkenaan tidak popular.
Menurut Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, meskipun cadangan itu menjadi tiket pembangkang menghentam kerajaan namun bayaran pencen yang terus meningkat dari tahun ke tahun amat menyukarkan kewangan negara yang telah pun menanggung beban hutang RM1.5 trilion.
"Walaupun langkah ini tidak popular, tapi kita terpaksa laksanakan biarpun kita tahu pihak pembangkang akan bangkitkan isu ini.
"Ini disebabkan jangka panjang skim pencen ini tidak sustainable (tidak mampan) dan akan mengakibatkan negara tertekan dengan hutang yang tinggi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beban pencen yang ditanggung kerajaan ketika ini mencecah RM30 bilion dan dalam tempoh 20 tahun akan datang dijangka mencecah RM120 bilion.
Justeru, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, perubahan terhadap skim tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan Malaysia muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.
Mengulas lanjut, Bakhtiar turut meminta semua pihak untuk tidak tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan menukarkan skim pencen kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu memandangkan ia masih di peringkat kajian dan belum diputuskan kerajaan.
"Sepatutnya, headline berbunyi seperti ini, “Skim KWSP menggantikan skim pencen bagi penjawat awam yang baru dilantik,” bukan “Skim pencen dimansuhkan," katanya lagi.
Comments