KWAP bertanggungjawab labur dana ke eFishery diperkukuh pemantauan


Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memperkukuh kawalan serta proses pemantauan pelaburannya susulan kes penipuan korporat melibatkan syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, yang mengakibatkan kerugian pelaburan sebanyak RM160 juta.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, seperti dijelaskan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara, pelaburan KWAP dalam eFishery merupakan kes penipuan korporat yang dirancang, yang turut menjerat beberapa pelabur institusi antarabangsa.
"Seperti dijelaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, di Dewan Negara pelaburan KWAP dalam eFishery merupakan kes penipuan korporat yang terancang."
"Pelabur institusi antarabangsa seperti Temasek, SoftBank dan 42XFund turut terjerat dalam penipuan tersebut, manakala pengasas eFishery telah dijatuhi hukuman penjara," kata kenyataan kementerian.
Sehubungan itu, KWAP bersama konsortium pelabur kini sedang melaksanakan pelbagai langkah pemulihan, termasuk merasionalisasikan aset syarikat, membuat laporan kepada pihak berkuasa serta mempertimbangkan tindakan sivil di negara berkaitan.
Walaupun kerugian daripada pelaburan itu telah direkodkan, kata kenyataan itu, prestasi keseluruhan KWAP kekal kukuh apabila mencatat keuntungan bersih RM12.9 bilion serta pertumbuhan saiz dana sebanyak 9.3 peratus bagi tahun 2024.
"Walaupun kerugian RM160 juta daripada pelaburan eFishery telah diambil kira, KWAP tetap mencatat keuntungan bersih RM12.9 bilion serta pertumbuhan saiz dana sebanyak 9.3% pada tahun 2024. Prestasi ini mencerminkan kekuatan keseluruhan portfolio serta pengurusan dana yang profesional, berdisiplin dan berteraskan tatakelola yang mantap," katanya.
Dalam kenyataan sebelum itu, PM berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan terus meningkatkan pelaburan domestik menerusi program GEAR-uP kepada RM30 bilion pada tahun 2026, berbanding RM25 bilion pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, antara syarikat pemula niaga tempatan yang menerima pelaburan GLIC ialah ZUS Coffee, Bateriku.com dan Lapasar.
"Datuk Seri Anwar menambah bahawa GLIC akan terus meningkatkan pelaburan domestik kepada RM30 bilion pada tahun 2026 menerusi program GEAR-uP. Jumlah ini lebih tinggi berbanding RM25 bilion pada tahun sebelumnya," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, antara syarikat pemula niaga tempatan yang telah menerima pelaburan daripada GLIC ialah ZUS Coffee, Bateriku.com dan Lapasar.
Usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan mengembangkan dana rakyat, malah turut memperkukuh ekonomi negara, membina kepakaran tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Malaysia.




I often notice Handymen mentioned whenever people discuss home maintenance, seasonal repairs, and property improvements. Reliable professionals are always appreciated.