Exco Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau Selangor, Hee Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri telah mengumpul kira-kira RM9 juta dalam dua tahun ini untuk kempen beg plastik.
Kutipan 20 sen untuk sekeping beg plastik di pasar raya itu pada 2020 sahaja berjumlah RM6.7 juta.
"Kempen beg plastik kalau kira mulai 2020, kutipannya sebanyak RM6.7 juta. Ini bukan satu kebanggaan kita. Kalau kutipan banyak bermakna kegagalan kita mengurnagkan penggunaan beg plastik.
"Bagaimanapun, tahun ini RM2.5 juta (setengah tahun). Berlaku pengurangan 23%. Di mana wang ini digunakan? 60% akan diserah kepada kerajaan negeri dan 40% Pihak Berkuasa Tempatan untuk pengurusan alam sekitar. Sesiapa yang ada progran ke arah kelestarian atau menjaga alam sekitar boleh mohon peruntukan.
"Kita mengharapkan NGO dan persatuan penduduk menanam lebih banyak pokok," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kempen penanaman pokok di DUN Sentosa, semalam.
Sebanyak 500 batang pokok telah ditanam di DUN berkenaan. Kebanyakannya dari jenis Sakura dan pihak Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa berharap lanskap di DUN berkenaan akan menjadi tumpuan pelancong mengambil gambar kenangan apabila tiba musim Sakura berbunga.
"Saya ucap tahniah YB Dr Gunaraj George kerana mengambil inisiatif menanam pokok di kawasan bandar.
"Usaha kerajaan ini untuk menambahkan penanaman pokok di Selangor, sasaran kita 1 juta pokok dalam masa lima tahun. Kita harap semua NGO dan persatuan bekerjasama dengan kita. Kita akan bekerjasama menambahkan bilangan pokok yang ditanam," tambah Hee lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah ADN Sentosa Dr Gunaraj George, Ahli Parlimen Parit Raja Mohamad Sabu, Ahli-ahli Majlis dan wakil-wakil penduduk yang menerima sumbangan anak pokok untuk ditanam di kawasan masing-masing.
Comments