KUSKOP terus perkasa koperasi, usahawan Sabah - Ramanan
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh gerakan koperasi serta komuniti usahawan di Sabah melalui pelbagai program advokasi, bimbingan dan bantuan pembiayaan.
Timbalan Menterinya Datuk Seri R Ramanan berkata, Program Advokasi dan Pemantapan Tadbir Urus Koperasi Baharu anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Kota Kinabalu baru-baru ini berjaya menghimpunkan lebih 200 anggota koperasi dari seluruh negeri.
"Program ini memberi pendedahan penting kepada koperasi baharu dalam aspek perundangan, pengurusan dan tatakelola.
"Mereka bukan sahaja mendapat pengalaman dan pendidikan, tetapi juga nasihat berguna supaya koperasi dapat beroperasi dengan lebih berkesan, telus dan mampan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu tambahnya, KUSKOP turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan seperti Tabung Modal Pusingan dan geran kecil bagi membantu koperasi baharu yang mematuhi tatakelola serta peraturan SKM.
Malah agensi di bawah KUSKOP seperti SME Bank, SME Corp, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan PERNAS juga turut memperkenalkan pelbagai kemudahan pembiayaan dan sokongan kepada peserta program.
"KUSKOP bersama semua agensinya komited membantu memperkasakan komuniti usahawan dan koperasi di seluruh negara, termasuk di Sabah," katanya sambil menyeru agar kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah diteruskan demi manfaat rakyat.





