top of page

KUSKOP sasar percepat kelulusan pembiayaan TEKUN dalam 24 jam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kini menyasarkan kelulusan pembiayaan TEKUN Nasional sehingga RM20,000 diselesaikan dalam masa 24 jam.


Menterinya, Steven Sim Chee Keong (gambar) berkata, langkah proaktif itu amat penting bagi memastikan golongan usahawan tidak berdepan kekangan birokrasi dan menunggu lama untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Perkara itu sedang melalui fasa projek rintis dan dijangka dilancarkan secara rasmi dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi," katanya dipetik laporan media tempatan.


Steven Sim ditemui pemberita melancarkan Portal TEKUN Nasional sempena Majlis Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia 2026 di Morten Walk, Melaka pada Ahad.


Beliau turut memaklumkan, tempoh proses permohonan pembiayaan TEKUN Nasional bagi nilai sehingga RM100,000 juga telah dipendekkan kepada hanya tujuh hari berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.


Manakala bagi pembiayaan di bawah Bank Rakyat dan SME Bank pula, permohonan sehingga RM1 juta disasarkan menerima keputusan dalam tempoh 14 hari.


Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan bahawa setakat 31 Mei lalu, KUSKOP telah meluluskan nilai pembiayaan keseluruhan sebanyak RM5 bilion yang telah memberikan manfaat kepada lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara.


Bagi memperkasakan lagi sektor berkenaan, KUSKOP menyasarkan penyaluran dana pembiayaan yang lebih besar berjumlah RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi inisiatif PowerUp10K sepanjang tahun ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page