KUSKOP salur RM254 juta pembangunan koperasi, terbesar dalam sejarah
- Suara Keadilan

- Jan 30
- 1 min read

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan RM254 juta bagi pelaksanaan 28 program pembangunan koperasi sepanjang tahun ini.
Menterinya Steven Sim Chee Keong (gambar) berkata, peruntukan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu bagi menyokong keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan serta peningkatan keupayaan dan daya saing koperasi dan merupakan tertinggi diberikan sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 iaitu sebanyak 167 peratus berbanding tahun lalu.
Jelasnya, sebanyak RM27.9 juta diperuntukkan dalam bentuk geran melalui 20 program di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPb), Kumpulan Wang Pusat (CCF) serta Bajet Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Peruntukan itu antara lain bagi menyokong pengadaptasian teknologi, pemerkasaan federasi koperasi, penerapan kelestarian dan teknologi hijau, pendigitalan operasi, pengukuhan keupayaan eksport, peningkatan nilai komersial produk serta bantuan permulaan dan pemulihan perniagaan koperasi.
"Selain itu, dalam usaha memperkukuh akses kepada pembiayaan, sebanyak RM226 juta pula akan disalurkan melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM yang merangkumi lapan program," katanya dipetik.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), di Kelana Jaya pada Khamis.
Turut hadir ialah Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA, Datuk Abdullah Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Noor Afifah Abdul Razak.
Sim sementara itu memaklumkan, terdapat kira-kira 16,000 koperasi berdaftar dengan lebih tujuh juta ahli di seluruh negara.
Beliau turut menyifatkan prinsip koperasi adalah menjangkaui politik, kaum dan agama dan mampu menjadi wadah penting menjana ekonomi, menjaga kebajikan dan membina perpaduan rakyat.









Comments