Kurikulum baharu STAM catat pencapaian membanggakan – Fadhlina
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Tiga buah sekolah yang mencatatkan keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 terbaik bakal menerima RM10,000 sebagai insentif keputusan yang cemerlang.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan keseluruhan calon STAM dengan kurikulum baharu hasil kerjasama dengan al-Azhar al-Sharif telah menunjukkan hasil apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan pencapaian membanggakan negara.
"Kurikulum yang digubal bersama al-Azhar ini sebenarnya sedang menyiapkan anak-anak untuk urusan negara yang lebih besar.
"Menjadi bakal ulama dan umara yang menguasai bidang serta rahmah kepada umat," katanya dipetik laporan media.
Sementara itu, Fadhlina menerusi satu hantaran di Facebooknya semalam memaklumkan, seramai 2,816 calon telah berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Seramai 61 calon telah memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang) dalam semua 10 mata pelajaran, termasuk 30 calon daripada sekolah di bawah KPM.
"Calon telah menunjukkan keupayaan untuk menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama, iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutalaah.
"Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus cemerlang pada masa hadapan," katanya.
Menerusi hantaran sama, beliau turut menyifatkan STAM Tahun 2025 sangat signifikan kerana melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.









Comments