'Kuota subsidi petrol RON95 adil untuk semua, miskin, kaya dapat'
- Suara Keadilan

- Sep 30
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter kepada warganegara tanpa mengira pendapatan menggambarkan keadilan Kerajaan Madani dalam pengagihkan inisiatif kepada rakyat.
Bagi Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin, walaupun golongan kaya mungkin memiliki 10 buah kenderaan pun, mereka tetap dikenakan had kuota yang sama seperti orang biasa, iaitu 300 liter petrol sebulan.
''Orang kaya pun layak (menikmati subsidi bersasar). Tak kira berapa kereta yang dimiliki, mereka hanya boleh guna maksimum kuota 300 liter (sebulan).
"Pengagihan subsidi perlu adil kepada semua. Kalau orang kaya, contohnya yang memiliki lebih daripada 20 kereta dan mahu menggunakan lebih daripada 300 liter, mereka boleh membayar sendiri (harga tanpa subsidi).

"Seperkara lagi, kalau kita menggunakan kereta biasa, tak mungkin penggunaan petrol melebihi 300 liter sebulan. Tidak kira berapa banyak kereta yang dimiliki atau berapa banyak tempat yang dilawati, jadi itu bukanlah satu isu,'' katanya.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu diminta mengulas mengenai pelaksanaan kuota subsidi yang ditentukan berdasarkan kelayakan individu, dan bukan jumlah kenderaan yang dimiliki.
Oleh itu, memiliki banyak kereta tidak akan meningkatkan jumlah subsidi yang diterima dan langkah itu bertujuan mengawal perbelanjaan kerajaan serta membolehkan lebih banyak bantuan tunai disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk melalui program seperti SARA dan lain-lain.
Untuk rekod, mulai hari ini semua rakyat Malaysia perlu menggunakan MyKad untuk pengesahan kelayakan petrol bersubsidi RON95.
Warganegara berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu aktif layak menerima kuota 300 liter petrol bersubsidi sebulan.









Comments