Kuota penduduk Melayu sudah lebih 40%, lebih baik fokus daya huni Kuala Lumpur
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 3 min read

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang mengemukakan satu cadangan untuk memastikan peratusan penduduk Melayu atau Bumiputera di ibu negara kekal sekurang-kurangnya 40% diihat agak ganjil oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya.
Lee Chean Chung (gambar) sebaiknya berkata, berdasarkan statistik pada tahun 2023, peratusan Bumiputera di Kuala Lumpur telah pun mencecah 47.4% meningkat 1.5% berbanding 45.9% pada tahun 2010.
Menurut beliau, ambang 40% telah lama dilampaui lebih 25 tahun lalu dan malah keadaan menjadi sebaliknya pada 10 tahun akan datang apabila jumlah penduduk bukan Melayu pula yang mengecil jumlahnya.
"Jika dirujuk kepada unjuran penduduk yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan, pada tahun 2030, peratusan penduduk Cina dijangka susut kepada 21.1%, dan pada tahun 2060 merosot lagi kepada hanya 14.8%.
"Apa maksudnya? Hari ini penduduk Cina di Semenanjung Malaysia berjumlah sekitar 6.2 juta orang. Menjelang 2060, jumlah ini akan berkurang secara mutlak kepada sekitar 5 juta orang. Bagi kaum India pula, peratusannya dijangka menurun daripada 6.3% pada 2030 kepada hanya 4.7% pada 2060.
"Maka timbul persoalan, apabila ditetapkan kuota 40% untuk Bumiputera, siapa yang diandaikan mengisi baki 60% itu?
"Dahulu ia mungkin merujuk kepada kaum Cina, India dan lain-lain “orang luar” atau bahkan “lawan”. Tetapi pada hari ini, yang diandaikan itu sebenarnya ialah satu ruang vakum yang semakin membesar, kaum minioriti jumlahnya semakin berkurangan dan kehidupan mereka juga mencabar seperti kaum majoriti di negara ini," kata beliau dalam satu kenyataan.
Hakikatnya, jelas Chean Chung, sebahagian besar daripada kumpulan minoriti sama seperti sebahagian besar rakyat Malaysia daripada majoriti Melayu, berkongsi aspirasi yang sama, iaitu kehidupan yang lebih baik.
Mereka berdepan dengan masalah gaji yang mengalami kekangan, kesesakan lalu lintas setiap pagi petang, kekecewaan terhadap sistem pengangkutan awam, dan kekurangan kawasan hijau untuk beriadah pada hujung minggu atau pada waktu petang bersama keluarga.
Kata beliau, jika kerajaan terus-menerus cuba membayangkan adanya “pihak lain” dalam negara untuk bersaing dengan Bumiputera maka negara akan terperangkap dalam bayang-bayang masa lalu.
"Kita akan lupa bahawa pada masa depan, komuniti Cina dan India yang semakin mengecil ini sebenarnya mengharapkan majoriti Melayu untuk bersama-sama membimbing mereka untuk terus memajukan tanah air yang kita kongsi ini.
"Jangan kita lupa, dalam era globalisasi dan ketidaktentuan geopolitik yang pantas berubah, pesaing sebenar Kuala Lumpur bukanlah jiran sebumbung tetapi bandar-bandar serantau seperti Singapura, Bangkok, Jakarta dan Ho Chi Minh.
"Jika kita tersilap langkah, isu-isu yang sepatutnya menjadi tumpuan rakyat seperti keberkesanan kerja pembersihan longkang, kekurangan rumah mampu milik untuk belia, laluan pejalan kaki yang hilang di tengah jalan, rasuah di peringkat tempatan yang memaksa peniaga kecil membayar “duit kopi”, atau kekurangan kemudahan permainan di taman kanak-kanak akan sekali lagi tenggelam kerana dipolitikkan melalui isu yang sama berulang kali iaitu perpecahan kaum," ujarnya.
Oleh itu, gesa beliau, daripada terus terikat kepada situasi zero-sum, lebih baik kerajaan menggunakan rancangan struktur berkenaan untuk menyatukan penduduk Kuala Lumpur kaum Melayu, Cina, India dan juga warga asing yang menganggap metropolitan itu sebagai rumah mereka.
"Fokuskan kepada sasaran yang akan benar-benar menjadikan KL sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa, membawa masuk pelaburan dan industri bernilai tambah tinggi, membina rangkaian pengangkutan awam yang lancar, memastikan pembinaan rumah mampu milik untuk belia dan golongan berpendapatan rendah, serta menarik bakat luar negara untuk menetap di Kuala Lumpur.
"Janji reformasi oleh Kerajaan MADANI bukan sahaja memerlukan transformasi dalam struktur ekonomi, tetapi juga pembaharuan dalam budaya dan cara berfikir.
"Ada perkara yang mungkin kedengaran pahit untuk didengar, tetapi saya percaya, ubat yang berkesan selalunya pahit rasanya," kata beliau lagi.
PSKL2040 berperanan dalam menentukan dasar, strategi serta kawalan pembangunan secara umum dan juga bagi setiap lot tanah di Kuala Lumpur.
Pelan itu disediakan mengikut peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).