Kuota kemasukan MRSM: Mengapa kerajaan PN 2.0 tidak guna konsep 'Keluarga Malaysia'



Kerajaan Perikatan Nasional 2.0 mungkin akan dikenang sebagai kerajaan 'cakap tidak serupa bikin' apabila memperkenalkan konsep 'Keluarga Malaysia' tetapi penuh diskriminasi di dalamnya.


Menurut Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat Wanita KEADILAN, Sivamalar Genapathy, konsep Keluarga Malaysia tidak dapat diterjemahkan dalam menghadapi situasi terbaharu, apabila Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menghadkan kemasukan ke sekolah tersebut hanya kepada pelajar dari sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sahaja.


Katanya, sebagai sebuah keluarga besar, kaum Melayu, Cina dan India perlu dibenar menggunakan semua kemudahan sebagai ahli keluarga yang sah.


"Perdana Menteri telah memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia’, namun kerajaan mengumumkan syarat kemasukan ke MRSM sesi 2022 menghadkan kemasukan calon kepada sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kebangsaan sahaja.


"Ini bermakna bukan sahaja calon-calon lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tiada peluang, pelajar lepasan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) juga tidak layak.


"Kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke MRSM bukanlah sesuatu yang asing, malah ia telah berlaku sejal awal penubuhannya. Namun demikian, ia hanya tidak diumumkan secara rasmi. Bagaimanapun, sejak tahun 2002 kerajaan secara rasmi telah memperuntukkan 10% kuota kemasukan bukan Bumiputera ke MRSM," katanya.


Sivamalar menyatakan rasa terkejutnya, dalam waktu rakyat meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 64, kerajaan PN 2.0 mengambil langkah mundur dan mahu merosakkan hubungan antara kaum serta latar sosio ekonomi di Malaysia.


Katanya, dasar baru tersebut sama sekali bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang meraikan kepelbagaian dalam negara


"MRSM sudah pun mempunyai mekanisme saringan yang tersendiri iaitu Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM), oleh itu kriteria terbaru yang diperkenalkan bukanlah sesuatu yang rasional kerana hanya pelajar yang berjaya dalam saringan akan dapat masuk ke MRSM berdasarkan merit.


"Berbanding pelajar yang datang daripada keluarga berkemampuan, mereka tentulah mempunyai lebih banyak pilihan untuk memasuki sekolah yang berkualiti sesuai dengan perjalanan akademik dan unjuran pekerjaan yang diidamkan.


"Bagi mereka yang kurang berkemampuan pula, ini akan menyukarkan pilihan yang telah sedia terhad. Langkah ini bukan sahaja mendiskriminasi pelajar bukan Bumiputera, namun juga pelajar Bumiputera yang bersekolah selain daripada sekolah kebangsaan," katanya.


Malah menurut Sivamalar, jika penghadkan jenis sekolah yang layak memasuki MRSM dilakukan bagi menggalakkan ibu bapa bukan Melayu menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan pun, ternyata ianya suatu strategi yang silap.


Katanya, keputusan untuk menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan mempunyai tahap penilaian lain, dan bukan semata-mata peluang masuk MRSM.


"Jika hasrat kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar bukan Bumiputera bersekolah di sekolah kebangsaan, tindakan ini tentu sekali terburu buru dan separuh masak.


"Ini kerana mekanisme awal seperti meningkatkan mutu dan kualiti sekolah kebangsaan dari segi fasiliti, integrasi kaum, silibus matapelajaran, pengajaran, pembelajaran, pengajaran bahasa ibunda, tidak sepenuhnya diimplementasikan. Elemen ini jika dilaksanakan dengan baik sudah tentu menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan nombor satu ibu bapa tanpa mengira kaum dan latar sosio ekonomi.


"Oleh itu, saya menyeru Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan pengurusan tertinggi MARA agar menarik balik syarat kemasukan terbaru dan membuka ruang yang inklusif supaya pelajar pelbagai aliran seperti SJKC, SJKT, SABK dan SRAI mendapat akses kemasukan ke MRSM.


"Tindakan ini adalah selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang disebut oleh Perdana Menteri baru baru ini," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER